Enam maut keracunan makan pasta segera

Enam maut keracunan makan pasta segera

DUA produk pasta keluaran The Nate’s Fine Foods products yang ditarik balik dari pasaran oleh FDA.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Enam orang maut manakala 25 lagi dimasukkan ke hospital akibat wabak listeria di Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan hidangan pasta segera yang baru-baru ini ditarik balik, menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA).

FDA berkata, pencemaran bakteria Listeria monocytogenes dalam pasta siap masak keluaran Nate’s Fine Foods dikesan baru-baru ini yang mencetus beberapa siri penarikan balik produk berkenaan di pasaran.

Agensi itu kini bekerjasama dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk menyiasat wabak listeria merentasi beberapa negeri.

“Sejak kemas kini kes CDC pada 25 September 2025, sebanyak tujuh kes baharu dari tiga negeri dilaporkan dengan dua lagi kematian. Satu kes jangkitan berkaitan kehamilan yang mengakibatkan kehilangan janin,” kata FDA.

Secara keseluruhan, kes sudah dikesan di 18 negeri, termasuk California, Florida, Hawaii, Illinois, Indiana, Louisiana, Michigan, Minnesota, Missouri, North Carolina, Nevada, Ohio, Oregon, South Carolina, Texas, Utah, Virginia dan Washington.

Produk yang ditarik balik termasuk pelbagai hidangan pasta segera yang dijual di rangkaian pasar raya utama, termasuk Kroger, Walmart, kedai milik Albertsons, Trader Joe’s, Giant Eagle dan Sprout, merangkumi produk seperti ayam Alfredo, pasta bebola daging, mangkuk udang scampi dan salad pasta deli.

FDA menggesa orang ramai memeriksa peti sejuk dan peti beku masing-masing bagi produk yang ditarik balik, memberi amaran listeria boleh menyebabkan penyakit serius, terutamanya dalam kalangan warga emas, individu dengan sistem imun lemah, wanita hamil dan bayi baru lahir. 

Jangkitan boleh menyebabkan demam, sakit otot, gejala neurologi dan dalam kehamilan, komplikasi serius termasuk keguguran atau kelahiran mati.

Menurut CDC, listeria merupakan punca ketiga tertinggi kematian akibat penyakit bawaan makanan di AS, dengan kira-kira 1,250 kes dan 172 kematian setiap tahun.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN