DOHA: Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani mengecam sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara, Sudan, menggesa agar penyelesaian segera dicapai bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.
“Kami amat terkejut dengan kekejaman yang berlaku di bandar El-Fasher di wilayah Darfur, Sudan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Dunia Kedua bagi Pembangunan Sosial yang berlangsung di Doha, Qatar.
Menurut laporan badan tempatan dan antarabangsa, RSF menawan bandar El-Fasher pada 26 Oktober lalu sebelum melakukan pembunuhan berasaskan etnik terhadap penduduk awam.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan akan berlakunya pembahagian wilayah secara kekal di Sudan.
“Sudan sudah menanggung derita akibat peperangan ini lebih dua tahun setengah.
“Kini tiba masanya untuk menghentikan pertumpahan darah ini dan mencapai penyelesaian politik yang mampu menjamin perpaduan, kedaulatan serta keutuhan wilayah Sudan,” tegasnya.
Sejak 15 April 2023, Sudan dilanda perang saudara antara tentera kerajaan dan kumpulan RSF yang meragut ribuan nyawa, menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal serta menimbulkan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Dalam ucapannya, Sheikh Tamim turut menyentuh mengenai situasi di Semenanjung Gaza dengan menegaskan keperluan mendesak untuk mendapatkan sokongan antarabangsa bagi menangani kesan kemusnahan akibat dua tahun pencerobohan Israel di wilayah itu.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar menggandakan usaha dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin untuk tujuan pembinaan semula dan memenuhi keperluan asas mereka.
“Pembangunan sosial tidak akan dapat dicapai tanpa keamanan dan kestabilan,” katanya lagi.
Sidang kemuncak anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung selama tiga hari di Doha itu dihadiri pemimpin serta wakil daripada lebih 200 negara dan pertubuhan antarabangsa bagi membincangkan tindakan global terhadap pembasmian kemiskinan, penyertaan sosial serta pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030. -AGENSI










