CILACAP, Indonesia: Dua maut manakala 21 lagi hilang selepas kejadian tanah runtuh berlaku di tiga kampung di daerah Cilacap, Jawa Tengah, malam Khamis.
Menurut jurucakap Agensi Bencana Negara, Abdul Muhari, operasi menyelamat masih diteruskan berikutan ramai penduduk dipercayai tertimbus dalam kejadian yang turut memusnahkan beberapa kediaman.
“Sehingga pagi Jumaat, pasukan gabungan berjaya menyelamatkan 23 mangsa hidup. Dua mangsa ditemukan meninggal dunia, manakala 21 lagi masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan keadaan tanah yang tidak stabil menyukarkan operasi mencari dan menyelamat, namun jentera berat telah digerakkan bagi mempercepat usaha tersebut.
Awal minggu ini, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik mengeluarkan amaran cuaca ekstrem yang boleh mencetuskan bencana hidrometeorologi, termasuk hujan lebat di beberapa wilayah Indonesia sepanjang minggu-minggu mendatang.
Musim monsun yang lazimnya berlaku dari November hingga April sering membawa risiko tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air. Perubahan iklim turut dilaporkan mengubah corak ribut sehingga menyebabkan hujan lebih lebat serta angin kencang.
Pada awal November, banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan terpencil wilayah Papua meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa dan menyebabkan lapan lagi hilang.










