Brazil sedia kabin percuma bantu negara miskin hadiri Sidang Kemuncak Iklim COP30

Brazil sedia kabin percuma bantu negara miskin hadiri Sidang Kemuncak Iklim COP30

PEMANDANGAN udara bandar Belem yang menjadi tuan rumah sidang iklim PBB COP30 di Para, Brazil.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Brazil menawarkan kabin percuma di kapal persiaran dalam usaha saat akhir memastikan kehadiran puluhan delegasi negara-negara miskin yang masih belum memperoleh penginapan untuk menyertai Sidang Kemuncak Iklim COP30 di Para.

Sekitar 50,000 delegasi dijangka berhimpun di bandar hutan hujan Belem, di mana hampir setiap kerajaan akan bertemu dari 10 hingga 21 November untuk merundingkan sasaran iklim.

Namun persiapan terganggu oleh isu logistik kerana Belem hanya mempunyai 18,000 bilik hotel, menyebabkan kadar harga mencecah ratusan dolar semalam.

Setakat 31 Oktober, sebanyak 149 negara mengesahkan penginapan, manakala 37 lagi masih berunding, menurut kerajaan Brazil.

Brazil berikrar memastikan negara paling miskin dan paling terdedah kepada perubahan iklim diberi ruang bersuara pada sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Kos penginapan yang melonjak mendorong PBB mengadakan mesyuarat kecemasan selepas negara-negara Afrika dan negara pulau kecil memberi amaran mereka tidak mampu hadir walaupun selepas Brazil dan PBB menanggung sebahagian kos hotel.

Satu emel yang dilihat Reuters menunjukkan Brazil minggu lalu menawarkan tiga kabin percuma di kapal persiaran yang berlabuh di Belem kepada delegasi negara berpendapatan rendah.

Emel yang dihantar sekretariat iklim PBB (UNFCCC) itu menyatakan kabin tersebut dibiayai oleh penyumbang swasta dan Bank Pembangunan Amerika Latin dan Caribbean, serta diselaras oleh kerajaan Brazil bersama Program Pembangunan PBB (UNDP).

“Kabin ini akan ditawarkan secara percuma kepada delegasi anda,” kata emel itu, menegaskan ia adalah tambahan kepada tempahan sedia ada.

Minggu lalu, Presiden COP30, Andre Correa do Lago berkata, kabin percuma itu akan diberikan kepada 96 negara-negara Afrika, negara pulau kecil dan negara kurang membangun.

“Dengan ini, kita akan mempunyai sokongan penting supaya semua negara membangun dapat hadir di COP30,” kata Correa do Lago.

Beberapa negara Eropah lebih kaya turut memberi isyarat mungkin tidak menghadiri rundingan iklim global tahun ini selepas ditawarkan harga penginapan melebihi AS$500 (RM2,095) seorang semalam.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN