MELBOURNE: Dua surat bertulis tangan yang dimasukkan ke dalam botol oleh askar Australia semasa perjalanan mereka ke medan perang di Perancis ketika Perang Dunia Pertama (WWI) ditemukan di pantai Australia lebih daripada satu abad kemudian.
Penemuan luar biasa itu oleh keluarga Brown di Pantai Wharton, berhampiran Esperance di Australia Barat pada 9 Oktober lalu, menurut Deb Brown kepada media pada Selasa.
Botol itu ditemukan tidak jauh dari gigi air ketika suaminya, Peter Brown dan anak perempuan mereka, Felicity, menunggang motosikal empat roda dalam aktiviti rutin keluarga membersihkan sampah di pantai.
Di dalam botol kaca tebal dan jernih itu terdapat dua nota bertulis pensil oleh Pvt. Malcolm Neville, 27, dan Pvt. William Harley, 37, yang bertarikh 15 Ogos 1916, hanya tiga hari selepas kapal tentera mereka, HMAT A70 Ballarat, brlayar dari Adelaide menuju ke Perancis.
Kapal tersebut membawa tentera Australia yang menyertai Batalion Infantri ke-48 di Barisan Hadapan Barat Eropah (Western Front).
Nasib kedua-dua askar itu berbeza iaitu Neville terbunuh setahun kemudian di medan perang, manakala Harley meninggal dunia di Adelaide pada 1934 akibat kanser.
Dalam suratnya, Neville meminta sesiapa yang menemui botol itu menghantar suratnya kepada ibunya di Wilkawatt.
Harley pula menulis sesiapa boleh menyimpan suratnya kerana ibunya sudah tiada.










