Bimbang perang dengan Russia, Perancis kembalikan kerahan tentera

Bimbang perang dengan Russia, Perancis kembalikan kerahan tentera

ANGGOTA tentera mengajar seorang peserta melakukan latihan menembak semasa Hari Tentera di Arcueil, Perancis. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Khidmat kerahan tentera akan diperkenalkan semula di Perancis sebagai tindak balas terhadap kebimbangan konfrontasi dengan Russia.

Lebih 25 tahun selepas sistem kerahan tenaga dimansuhkan, pelan baharu itu bakal menyaksikan lelaki dan wanita muda menyertai latihan ketenteraan secara sukarela selama 10 bulan dengan bayaran gaji.

Presiden Emmanuel Macron berkata, perkhidmatan ke­bang­saan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai musim panas tahun depan untuk golongan berusia 18 dan 19 tahun, yang akan menerima bayaran sekurang-kurangnya 800 euro (RM3,828) sebulan.

“Satu-satunya cara untuk mengelakkan bahaya ialah dengan bersedia menghadapinya. Kita perlu memobilisasi negara untuk mempertahankan diri supaya sentiasa bersedia dan dihormati.

Dalam dunia yang tidak menentu ini, apabila kekuatan mengatasi kebenaran, peperangan bukan sesuatu yang mustahil.

“Angkatan tentera juga akan mendapat banyak manfaat daripada penyertaan golongan muda Perancis yang bermotivasi. Ia juga adalah satu tanda kepercayaan besar terhadap golongan muda kita,” kata Macron ketika mengumumkan pelan itu di sebuah pangkalan infantri berhampiran Grenoble di tenggara Perancis.

Pada fasa awal, jumlah penyertaan akan dihadkan kepada 3,000 orang pada tahun hadapan, namun angka itu dijangka meningkat kepada 50,000 menjelang 2035.

Ketika ini Perancis mempunyai kira-kira 200,000 anggota tentera serta 47,000 anggota simpanan. Skim baharu ini dijangka mewujudkan struktur tiga peringkat yang merangkumi anggota profesional, simpanan dan sukarelawan.

Ancaman kebuntuan dengan Russia kini menjadi sebahagian daripada wacana nasional Perancis, malah Ketua Staf yang baharu dilantik, Jeneral Fabien Mandon menegaskan, perancangan ketenteraan negara itu dibina atas andaian berlakunya konfrontasi dengan Moscow dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

Perubahan yang dilakukan Perancis selaras dengan beberapa negara Eropah lain termasuk Belgium, Belanda, Lithuania, Latvia dan Sweden yang turut memperkenalkan skim khidmat tentera dalam pelbagai bentuk akibat kebimbangan terhadap pencerobohan Russia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN