WASHINGTON: Tokoh politik Republikan, Dick Cheney yang pernah menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran George W. Bush dan dianggap antara arkitek utama pencerobohan AS ke atas Iraq meninggal dunia pada usia 84 tahun, menurut kenyataan keluarganya semalam.
Cheney yang pernah berkhidmat sebagai ahli Kongres, Ketua Staf Rumah Putih serta Setiausaha Pertahanan, dikenang sebagai antara naib presiden paling berpengaruh dalam sejarah AS, dengan pengaruh besar terhadap Bush yang ketika itu masih kurang berpengalaman dalam hal ehwal dasar.
Ketika serangan pengganas pada 11 September 2001, Cheney berada di pejabat dan segera mengambil alih peranan penting bersama Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld, dalam mengatur langkah keselamatan negara.
Tidak lama kemudian, tentera AS dihantar ke Afghanistan bagi menentang kumpulan Taliban dan memburu rangkaian al-Qaeda namun, legasi politik Cheney banyak dipalit kontroversi akibat keputusan untuk menyerang Iraq pada 2003.
Sebagai bekas Setiausaha Pertahanan ketika Perang Teluk Pertama pada 1990–1991, beliau bersama Bush kemudiannya mendakwa Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran serta mempunyai kaitan dengan serangan 9/11, dakwaan yang kemudiannya terbukti tidak benar.
Menurut Kajian oleh Watson School of International and Public Affairs di Universiti Brown, sejak 2001 sekurang-kurangnya 800,000 nyawa terkorban akibat konflik bersenjata di Iraq, Afghanistan, Syria, Yemen dan Pakistan.
Selain itu, tindakan pentadbiran AS terhadap tahanan dalam perang menentang keganasan turut menimbulkan kecaman antarabangsa, khususnya berhubung penggunaan kaedah penyeksaan yang terus dipertahankan Cheney walaupun selepas bersara daripada politik.
Dilahirkan di Nebraska dan tidak menamatkan pengajian di Universiti Yale, Cheney yang tidak pernah berkhidmat dalam perang Vietnam, tetap muncul sebagai tokoh berpengaruh dalam Parti Republikan.
Beliau pernah menjadi pembantu Rumah Putih di bawah Richard Nixon, Ketua Staf kepada Presiden Gerald Ford, Ahli Kongres di era Ronald Reagan, serta Setiausaha Pertahanan kepada George H. W. Bush sebelum dilantik sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran anaknya, George W. Bush, pada 2000.
Anaknya, Liz Cheney, turut mengikut jejak langkah beliau sebagai ahli politik Republikan dan pernah menjadi wakil Wyoming di Dewan Perwakilan.
Namun, beliau kemudian disingkir dan dikecam parti sendiri selepas lantang mengkritik Presiden, Donald Trump berhubung insiden serangan ke atas Capitol pada 6 Januari 2021.
Pada tahun berikutnya, Cheney menghadiri upacara memperingati ulang tahun pertama insiden itu bersama anaknya dan meluahkan rasa kecewa terhadap kepimpinan semasa Parti Republikan, dengan menyatakan ia tidak lagi mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang dia kenal ketika berkhidmat dahulu.
Pada 2024, Cheney secara terbuka menyatakan sokongan terhadap calon Demokrat, Kamala Harris berbanding Trump, dengan menyifatkan individu tersebut sebagai ancaman terbesar kepada republik AS dalam sejarah 248 tahun negara itu serta menegaskan beliau wajib mengutamakan negara daripada kepartian demi mempertahankan perlembagaan. -AGENSI










