BANGKOK: Jumlah korban akibat banjir besar di selatan Thailand meningkat kepada 33 orang, menurut jurucakap kerajaan.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat berkata, pihak berkuasa memaklumkan kematian dilaporkan di tujuh wilayah, berpunca daripada banjir kilat, renjatan elektrik dan lemas.
Pakar turut memberi amaran Hat Yai akan terus berdepan banjir teruk dan zon ekonomi bandar itu akan kekal ditenggelami air sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Disember.
Pengarah Pusat Perubahan Iklim dan Bencana Universiti Rangsit, Profesor Madya Seree Supratid yang juga Timbalan Presiden Yayasan Majlis Amaran Bencana Kebangsaan berkata, walaupun paras air di hulu daerah Sadao menurun, aliran air di bahagian hilir akan meningkat sebelum sampai ke bandar, sekali gus memburukkan lagi keadaan banjir.
“Pada Selasa, paras air banjir meningkat hampir dua meter berbanding Isnin.
“Rumah yang sebelum ini ditenggelami air setinggi satu meter kini tenggelam sepenuhnya, manakala rumah-rumah di kawasan rendah seperti Perbandaran Khuan Lang ditenggelami air sehingga ke bumbung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menganggarkan jumlah hujan antara 21 hingga 25 November mencecah kira-kira 850 milimeter, menghasilkan 1,200 hingga 1,500 juta meter padu aliran air di permukaan.
Dengan keupayaan saliran semula jadi dan pam sedia ada, air dianggarkan mengambil masa kira-kira 10 hari untuk surut, namun keadaan itu dijangka mengambil masa berikutan paras laut yang tinggi sehingga hujung November.
“Orang ramai terkandas di atas bumbung, kenderaan tenggelam dan golongan rentan merayu bantuan, namun tiada struktur arahan pusat,” katanya.
Beliau menggesa langkah segera seperti memotong timbunan tanah di tepi jalan bagi mempercepatkan pengaliran air keluar dan meminimumkan kerugian.
Pengurus Yayasan Komuniti Thailand, Maitree Jongkraichak turut menyeru campur tangan segera.
Menerusi media sosial, beliau mencadangkan penubuhan sebuah ‘war room’ pakar yang melibatkan ahli akademik, rangkaian komuniti dan penganalisis data, serta menggerakkan pelan bencana peringkat kebangsaan dan wilayah.
Antara tindakan yang disyorkan termasuk pemetaan kawasan berisiko banjir, penyelarasan operasi menyelamat melalui pusat radio bersepadu, penggerakan bot dan pesawat tentera untuk pengangkutan, penubuhan pusat pemindahan dan dapur pusat serta penyampaian maklumat terkini kepada media setiap dua jam.
Sementara itu, Pakar Ekologi Marin, Thon Thamrongnawasawat menegaskan pengajaran besar daripada kejadian di Hat Yai yang membuktikan bencana pada era pemanasan global semakin serius.
Beliau menasihatkan penduduk supaya tidak menjadi mangsa dengan membuat persediaan awal seperti menyediakan bekalan kecemasan, merancang laluan keluar, dan membantu individu yang berisiko lebih awal.-AGENSI










