WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghantar mana-mana pegawai kanan ke sidang kemuncak iklim COP30 di Brazil, menurut pegawai Rumah Putih ketika Presiden, Donald Trump memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama tenaga fosil di luar negara.
Trump yang menarik semula penyertaan AS daripada Perjanjian Paris buat kali kedua selepas kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu sememangnya tidak dijangka menghadiri sidang pemimpin di Belem menjelang persidangan iklim tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.
Namun kini dilaporkan Washington juga tidak akan menghantar wakil perunding peringkat tertinggi ke sidang tersebut.
“AS tidak akan menghantar sebarang wakil kanan ke COP30. Presiden kini berhubung secara langsung dengan pemimpin dunia dalam isu tenaga, seperti yang dapat dilihat menerusi perjanjian perdagangan dan keamanan bersejarah yang memberi tumpuan besar terhadap kerjasama tenaga,” kata seorang pegawai Rumah Putih.
Sidang COP30 dijadual berlangsung dari 10 hingga 21 November, dengan sidang pemimpin dunia diadakan pada 6 hingga 7 November.
Menurut kerajaan Brazil, kurang daripada 60 pemimpin dunia mengesahkan kehadiran mereka termasuk dari Perancis, Jerman, United Kingdom (UK), Norway, Chile dan Liberia.
China pula akan diwakili oleh Naib Perdana Menteri Ding Xuexiang.
Ketika pentadbiran Trump turut menarik diri daripada Perjanjian Paris semasa penggal pertamanya, kali ini Washington melangkah lebih jauh dengan menggunakan pengaruhnya untuk menggalakkan pengeluaran bahan api fosil secara global.
AS juga mengancam tindakan balas perdagangan terhadap negara yang menyokong cadangan sistem harga karbon oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah PBB sekali gus menangguhkan pelaksanaan langkah tersebut.
Aktivis iklim bimbang AS mungkin akan menarik diri sepenuhnya daripada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), iaitu perjanjian asas yang menyokong Perjanjian Paris, walaupun masih belum jelas sama ada kuasa eksekutif mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan perjanjian yang telah disahkan Senat.
Walaupun tanpa kehadiran wakil persekutuan, lebih 100 pemimpin peringkat negeri dan tempatan dari AS termasuk gabenor dan datuk bandar dijangka hadir ke sidang tersebut di bawah inisiatif America Is All In.
“Kami tetap hadir dengan komitmen penuh,” kata Pengerusi Bersama kumpulan itu, Gina McCarthy yang juga bekas Ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) di bawah pentadbiran Barack Obama. -AFP










