WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi mengeluarkan Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, daripada senarai pengganas global, beberapa hari sebelum lawatan bersejarahnya ke Washington.
Langkah yang diumumkan Jabatan Negara itu sudah dijangka, memandangkan Sharaa kini bekerjasama dengan AS.
Ia juga dibuat sehari selepas Washington mengetuai undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menarik balik sekatan terhadapnya.
“Tindakan ini diambil sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan yang ditunjukkan oleh kepimpinan Syria selepas kejatuhan Bashar al-Assad dan lebih 50 tahun penindasan di bawah rejim Assad,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan Sharaa memenuhi tuntutan AS, termasuk usaha mencari warga Amerika yang hilang dan menghapuskan baki senjata kimia yang masih ada.
Sharaa, yang pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda, sebelum ini disenaraikan sebagai ‘Pengganas Global yang Ditetapkan Secara Khas’ oleh AS, yang juga pernah menawarkan ganjaran bagi penangkapannya.
Pasukan Sharaa, yang disokong oleh Turkiye dan kuasa Arab Teluk, merampas kuasa hampir setahun lalu melalui serangan pantas.
Sharaa dijadual melawat Rumah Putih pada Isnin, ketika Presiden Donald Trump berjanji untuk membantu membangunkan semula Syria.
Sekutu AS, Israel, pada mulanya menentang langkah itu dan mengebom Syria secara besar-besaran sejak kejatuhan Assad dalam usaha melemahkan musuh tradisinya.- AFP










