AS hidupkan semula saluran ketenteraan dengan China

AS hidupkan semula saluran ketenteraan dengan China

PETE HEGSETH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju untuk menghidupkan semula saluran komunikasi ketenteraan bagi mengelakkan konflik dan mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth susulan pertemuan bersejarah antara pemimpin kedua-dua negara, Donald Trump dan Xi Jinping di Korea Selatan pada Khamis lalu.

“Menteri Pertahanan China, Dong Jun dan saya bersetuju keamanan, kestabilan dan hubungan baik adalah jalan terbaik bagi negara kita yang hebat dan kuat dengan hala tuju saling menghormati dan hubungan positif.

“Saya dan Jun  juga bersetuju usaha mewujudkan saluran ketenteraan penting untuk mengelakkan konflik dan mengurangkan sebarang masalah yang timbul. Saluran sebegitu sudah wujud selama bertahun-tahun tetapi kadang-kala tidak digunakan.

“Kami akan mengadakan lebih banyak mesyuarat mengenainya dalam masa terdekat,” kata Hegseth dalam satu hantaran di laman X.

Hegseth sebelum ini memberi amaran China bersiap sedia untuk menggunakan kekuatan ketenteraan bagi menggugat keseimbangan kuasa di Asia, kenyataan yang mendapat reaksi keras daripada Beijing.

Menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), kebanyakan daripada lebih 90 saluran komunikasi antara kerajaan AS dan China terhenti semasa penggal pertama Trump sebagai Presiden AS dari 2017 hingga 2021.

China kemudian memutuskan beberapa saluran yang masih wujud dengan tentera AS pada 2022, di bawah pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden, apabila Speaker Dewan Perwakilan ketika itu, Nancy Pelosi melawat Taiwan, pulau yang ditadbir sendiri dan dituntut Beijing sebagai wilayahnya.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN