Ahli Kongres AS desak Putera Andrew jelaskan hubungan dengan Jeffrey Epstein

Ahli Kongres AS desak Putera Andrew jelaskan hubungan dengan Jeffrey Epstein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ahli-ahli Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menyiasat kes Jeffrey Epstein meningkatkan desakan agar bekas Putera Britain, Andrew Mountbatten Windsor tampil memberi keterangan berhubung kaitannya dengan mendiang ahli kewangan dan pesalah seks itu.

Tindakan itu dibuat selepas Raja Charles melucutkan gelaran putera daripada Andrew dan mengusirnya dari kediaman mewah di kawasan Istana Windsor pada Khamis, susulan kemarahan awam yang berlarutan selama bertahun-tahun akibat laporan negatif mengenai tingkah lakunya.

Istana Buckingham dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu diambil walaupun Andrew terus menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Di AS, tindakan Raja Charles itu mencetuskan gesaan baharu agar Andrew mendedahkan segala maklumat berkaitan Epstein, khususnya selepas istana menyatakan simpati terhadap mangsa penderaan dalam kenyataan rasmi pada Khamis.

Menurut laporan BBC, sekurang-kurangnya empat ahli Demokrat daripada Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan AS yang menyiasat pengendalian kes Epstein oleh kerajaan AS, telah memperbaharui desakan agar Andrew tampil memberi keterangan.

“Bersikap jujurlah, hadir ke hadapan Kongres AS secara sukarela, jangan tunggu sehingga disepina.

“Datang dan beritahu kami apa yang anda tahu bukan hanya demi keadilan kepada mangsa, tetapi untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” kata Ahli Kongres Demokrat, Raja Krishnamoorthi.

Seorang lagi ahli Demokrat, Suhas Subramanyam mencadangkan agar Andrew boleh memberi keterangan secara maya dengan diwakili peguam dan berbicara secara tertutup dengan panel penyiasat.

Istana Buckingham setakat ini belum memberikan sebarang komen berhubung desakan tersebut.

Sementara itu, Menteri Perdagangan United Kingdom (UK), Chris Bryant berkata, Andrew sepatutnya pergi ke AS untuk menjawab soalan mengenai hubungannya dengan Epstein.

Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Bebas Kelakuan Polis (IOPC) bagi England dan Wales pada Sabtu memaklumkan, mereka sudah menghubungi Polis Metropolitan London berikutan laporan media mengenai Andrew, bagi menilai sama ada terdapat unsur yang memenuhi kriteria untuk disiasat lanjut.

Jurucakap Polis Metropolitan menjelaskan pada tahun 2016, pihaknya memutuskan bidang kuasa dan organisasi lain lebih sesuai untuk menyiasat tuduhan tersebut dan tiada siasatan jenayah penuh dijalankan selepas itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN