JAKARTA: Laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati ibu negara Indonesia, Jakarta kini merupakan bandar terpadat dunia dengan 41.9 juta penduduk, diikuti Dhaka di Bangladesh yang menempatkan 36.6 juta orang.
Terletak di kawasan pesisir pantai yang rendah di bahagian barat pulau Jawa yang padat penduduk, Jakarta melonjak daripada tempat kedua untuk mengambil alih kedudukan Tokyo.
Ibu negara Jepun itu sebelum ini dinamakan sebagai bandar terpadat dunia dalam penilaian PBB yang diterbitkan pada tahun 2000.
Bandar Tokyo yang agak stabil pada 33.4 juta menyaksikannya jatuh ke tempat ketiga, di belakang Dhaka yang melonjak dari kedudukan kesembilan ke tempat kedua dan kini diunjurkan menjadi bandar terpadat dunia menjelang 2050.
Laporan Prospek Pembandaran Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB turut mendapati jumlah ‘bandar mega’ dengan lebih 10 juta penduduk meningkat kepada 33 buah.
Jumlah itu empat kali ganda daripada hanya lapan bandar mega di seluruh dunia pada tahun 1975.
Asia kini menempatkan 19 daripada 33 bandar mega dunia dan sembilan daripada 10 bandar teratas berada di benua ini.
Selain Jakarta, Dhaka dan Tokyo, bandar-bandar Asia lain dalam kelompok 10 teratas ialahNew Delhi di India (30.2 juta); Shanghai, China (29.6 juta); Guangzhou, China (27.6 juta); Manila, Filipina (24.7 juta); Kolkata, India (22.5 juta); dan Seoul, Korea Selatan (22.5 juta).
Dengan populasi 32 juta orang, Kaherah di Mesir merupakan satu-satunya bandar dalam kelompok 10 teratas yang terletak di luar Asia, menurut PBB.
Sao Paulo di Brazil dengan 18.9 juta penduduk, kini merupakan bandar terpadat di benua Amerika, manakala Lagos di Nigeria turut berkembang pesat sekali gus menjadikannya bandar terpadat di Afrika sub-Sahara.
CABARAN BANDAR BESAR
Pertumbuhan pesat Dhaka sebahagiannya didorong oleh penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke ibu negara.
Kebanyakannya didorong oleh usaha mencari peluang pekerjaan atau melarikan diri daripada kampung halaman mereka akibat masalah seperti banjir dan kenaikan paras laut yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.
Jakarta juga berdepan masalah yang sama akibat kenaikan paras laut. Dianggarkan sehingga satu per empat daripada bandar itu boleh ditenggelami air menjelang 2050.
Keadaan ini begitu serius sehingga kerajaan Indonesia kini membina sebuah ibu negara baharu yang direka khas di Nusantara, terletak di wilayah Kalimantan Timur di pulau Borneo.
Walaupun bangunan pentadbiran kerajaan dan parlimen akan berpindah ke sana, PBB menganggarkan 10 juta lagi penduduk akan tinggal di Jakarta menjelang 2050.
Penduduk bandar yang semakin meningkat itu juga terpaksa berdepan isu ketidaksamaan dan kos sara hidup, yang menyaksikan ribuan orang berhimpun di bandar itu awal tahun ini.
Ia mencerminkan kemarahan yang semakin meningkat terhadap nasib pekerja berpendapatan rendah, termasuk penghantar makanan dan perkhidmatan e-hailing motosikal.
Menurut laporan PBB, ibu negara Iran, Teheran yang kini berdepan catuan air kerana hampir kehabisan sumber air, mempunyai populasi sekitar sembilan juta orang.
Penilaian baharu ini juga menyaksikan perubahan besar apabila PBB mengguna pakai ukuran terkini bagi menangani ketidakseragaman dalam cara negara-negara mentakrifkan proses perbandaran.
PBB turut memaklumkan, dalam kebanyakan kes, laporannya merujuk kepada saiz bandar individu, bukannya dua bandar yang berkembang dan bergabung, kecuali dalam beberapa kes tertentu.
Takrif baharu ini mentakrifkan bandar sebagai satu ‘pemusatan berterusan’ yang terdiri daripada petak bersaiz satu kilometer persegi, dengan kepadatan sekurang-kurangnya 1,500 penduduk setiap kilometer persegi dan jumlah keseluruhan penduduk sekurang-kurangnya 50,000 orang.
Kajian terbaharu PBB turut mendapati lebih separuh daripada 8.2 bilion penduduk dunia kini tinggal di bandar, peningkatan ketara berbanding tahun 1950 apabila hanya 20 peratus populasi masyarakat tinggal di kawasan metropolitan.










