GAZA: Lebih sejuta kanak-kanak di Semenanjung Gaza masih memerlukan bantuan makanan dan air bersih dengan segera, manakala kira-kira 650,000 lagi masih tidak dapat bersekolah walaupun gencatan senjata sudah berkuat kuasa, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Jurucakap UNICEF, Tess Ingram berkata dalam wawancara bersama agensi berita Anadolu pada Ahad menjelaskan gencatan senjata yang dimeterai baru-baru ini memang sudah menghentikan serangan udara harian yang meragut nyawa kanak-kanak, namun tidak mencukupi untuk mengakhiri kebuluran atau menjamin akses keluarga kepada air minuman selamat.
Beliau memberi amaran ribuan kanak-kanak di Gaza masih tidur dalam kelaparan setiap malam berikutan kemusnahan infrastruktur penting melibatkan bekalan air, sanitasi dan perkhidmatan kesihatan.
“Keluarga di Gaza masih bergelut setiap hari untuk terus hidup,” katanya sambil menambah kerosakan pada kemudahan asas menyebabkan akses kepada perkhidmatan keperluan menjadi amat sukar.
Menurut Ingram, jumlah bantuan yang memasuki Gaza selepas gencatan senjata bermula sememangnya meningkat sedikit dalam dua minggu pertama, namun ia masih jauh daripada mencukupi dan masih berada di bawah paras sebelum tercetusnya peperangan.
Gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang ditaja oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu di mana hanya 145 lori komersial dan bantuan dibenarkan memasuki Gaza setiap hari, iaitu kira-kira 24 peratus sahaja daripada 600 lori yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, tentera Israel didakwa melanggar beberapa kali perjanjian tersebut dengan melancarkan serangan baharu yang mengorbankan lebih ramai penduduk Palestin serta terus mengenakan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.
Pejabat Media Kerajaan Gaza mendakwa Israel terus menyekat aliran bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu, sekali gus melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.-AGENSI

								
											







