HUNTINGDON: Polis United Kingdom (UK) menahan dua suspek selepas insiden tikaman rambang di dalam gerabak kereta api menuju ke London yang menyebabkan 10 orang dimasukkan ke hospital dengan sembilan daripadanya parah.
Pasukan polis bersenjata bersama kereta peronda dan deretan ambulans, memenuhi stesen kereta api di bandar luar bandar Huntingdon, Cambridgeshire, selepas serangan itu dilaporkan dan perkhidmatan kereta api tersebut dihentikan di lokasi berkenaan.
“10 orang dikejarkan ke hospital selepas insiden tikaman beramai-ramai di sebuah kereta api di Cambridgeshire. Sembilan dipercayai mengalami kecederaan mengancam nyawa,” kata Polis Pengangkutan British di platform X, sambil menambah unit antikeganasan turut membantu siasatan.
Polis mengesahkan kereta api itu datang dari Doncaster di timur laut menuju ke Stesen King’s Cross, London, laluan sibuk yang sering padat dengan penumpang.
Seorang saksi memberitahu akhbar The Times, mereka melihat lelaki memegang pisau besar dan terdapat darah di merata tempat ketika penumpang cuba bersembunyi di dalam tandas.
Ada penumpang yang dipijak oleh orang lain ketika cuba melarikan diri dan saksi itu berkata, mereka juga mendengar jeritan ‘we love you’ daripada beberapa individu.
Saksi lain memberitahu Sky News mereka melihat seorang lelaki memegang pisau besar di platform selepas kereta api berhenti. Lelaki itu kemudian dilihat ditembak dengan pistol renjatan sebelum ditahan polis.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, menyifatkan insiden menggerunkan itu amat membimbangkan.
“Hati dan fikiran saya bersama semua yang terlibat, dan terima kasih kepada pasukan kecemasan atas tindakan pantas mereka,” katanya di X, sambil menasihati orang ramai di kawasan berhampiran supaya akur kepada arahan polis.
Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood mengesahkan dua individu telah ditahan.
Polis bersenjata tiba di lokasi kira-kira pukul 7.40 malam (waktu tempatan) selepas kereta api meninggalkan Peterborough.
Perkhidmatan Ambulans East of England memaklumkan sudah menggerakkan tindak balas berskala besar termasuk ambulans, helikopter perubatan dan komander taktikal.
Pengendali kereta api London North Eastern Railway (LNER) berkata, landasan ditutup semasa operasi kecemasan berlangsung, menyebabkan gangguan besar dan menasihati penumpang supaya tidak melakukan perjalanan.
Identiti dua suspek belum didedahkan, dan motif serangan masih belum diketahui.
Jenayah membabitkan pisau di England dan Wales meningkat sejak 2011, menurut data rasmi kerajaan.
Walaupun Britain mempunyai undang-undang senjata api antara paling ketat di dunia, jenayah pisau kini dilabel sebagai ‘krisis nasional’ oleh Starmer.-AFP










