Zelensky 'kempunan' peluru berpandu dari AS, Trump tumpu usaha damai - Utusan Malaysia

Zelensky ‘kempunan’ peluru berpandu dari AS, Trump tumpu usaha damai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump lebih cenderung menamatkan perang Russia-Ukraine melalui meja rundingan berbanding membekalkan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk kepada Ukraine.

Dalam pertemuannya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di Rumah Putih baru-baru ini, Trump menyatakan AS mungkin memerlukan senjata tersebut bagi menghadapi konflik masa depan, sekali gus menampakkan keengganannya untuk memenuhi permintaan Kyiv.

“Saya beritahu kedua-dua Presiden Zelensky dan Putin supaya hentikan peperangan ini serta-merta. Hentikan pertumpahan darah. Kedua-dua pihak patut kembali kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada wartawan sebelum berlepas ke kediamannya di West Palm Beach, Florida.

Walaupun tidak menolak sepenuhnya kemungkinan membekalkan misil itu, Trump menegaskan AS perlu mengutamakan keperluan pertahanannya sendiri.

“Kita juga perlukan Tomahawk. Kita tidak mahu berikan sesuatu yang kita perlukan untuk melindungi negara kita,” katanya.

Zelensky pula secara terbuka memberitahu Ukraine kini mempunyai ribuan dron siap untuk melancarkan serangan terhadap sasaran Russia, namun masih kekurangan misil Amerika itu.

“Kami tidak mempunyai Tomahawk, sebab itulah kami memerlukannya,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Trump membalas secara sinis: “Kami lebih rela jika anda tidak memerlukannya.”

Nada berhati-hati Trump terhadap penghantaran senjata itu dilihat berkait rapat dengan panggilan telefon mengejut daripada Presiden Russia, Vladimir Putin, sehari sebelumnya.

Dalam perbualan itu, Putin memberi amaran sebarang langkah membekalkan Tomahawk kepada Ukraine akan menjejaskan hubungan dua hala antara Washington dan Moscow.

Pendirian Trump terhadap isu Ukraine dilaporkan sering berubah-ubah sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, bergantung kepada hasil rundingan dengan Putin atau sekutu Eropah Kyiv.

Sementara itu, dalam pertemuan bersama Zelenskyy, Trump turut memaklumkan rancangan untuk bertemu Putin di Budapest, Hungary dalam masa terdekat bagaimanapun beliau tidak mengesahkan sama ada Zelensky akan turut serta.

“Terlalu banyak permusuhan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Zelensky kemudiannya memaklumkan kepada media beliau memahami pendirian AS yang enggan meningkatkan ketegangan dan bersikap realistik terhadap peluangnya mendapatkan misil jarak jauh itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN