Trump semakin agresif kerah Pengawal Kebangsaan ke Illinois - Utusan Malaysia

Trump semakin agresif kerah Pengawal Kebangsaan ke Illinois

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO: Ketibaan anggota Pengawal Kebangsaan dari Texas ke negeri Illinois pada Selasa menandakan peningkatan ketegangan antara pentadbiran Presiden Donald Trump dan pemimpin negeri meskipun ditentang keras oleh pihak berkuasa tempatan.

Langkah ini sebahagian daripada tindakan tegas Trump terhadap bandar ketiga terbesar di AS itu, yang dikatakan dilanda jenayah dan kekacauan, walaupun data rasmi menunjukkan penurunan ketara dalam kadar jenayah, termasuk pembunuhan.

“Jika gabenor tak mampu jalankan tugas, kami akan ambil alih. Semuanya sangat mudah,” kata Trump.

Katanya, Chicago mengalami sekitar “50 pembunuhan dalam 5 hingga 7 bulan terakhir,” namun angka rasmi menunjukkan pengurangan 33 peratus dalam kes pembunuhan dan 38 peratus dalam kes tembakan dalam enam bulan pertama tahun 2025.

Walaupun misi sebenar tentera tersebut belum diumumkan secara rasmi, Chicago telah menjadi pusat penegakan undang-undang imigresen oleh pentadbiran Trump. Para penunjuk perasaan sering berhimpun di bangunan imigresen di Broadview, Illinois.

Tindakan menghantar tentera ke Chicago mengikuti penghantaran ke bandar-bandar lain seperti Portland, Los Angeles dan Washington, meskipun mendapat bantahan daripada pemimpin tempatan yang rata-ratanya dari Parti Demokrat.

Gabenor Illinois, JB Pritzker, menuduh Trump menyalahgunakan anggota tentera sebagai alat politik untuk menunjukkan seolah-olah negara sedang berada dalam krisis keselamatan.

“Donald Trump menggunakan anggota tentera sebagai alat propaganda dalam usaha haram untuk memiliknegarakan bandar-bandar kita,” katanya.

Datuk Bandar Chicago, Brandon Johnson, pula menyifatkan langkah tersebut sebagai “tidak berperlembagaan, tidak sah dan berbahaya.”

Illinois dan Chicago mengemukakan saman terhadap kerajaan persekutuan pada Isnin untuk menghalang federalisasi 300 anggota Pengawal Kebangsaan Illinois dan kemasukan anggota dari Texas. Bagaimanapun, Hakim Persekutuan April Perry membenarkan penempatan diteruskan buat masa ini dan mengarahkan kerajaan AS mengemukakan jawapan pada Rabu.

Sementara itu, di Oregon, seorang hakim persekutuan menghalang sementara pentadbiran Trump daripada menghantar tentera ke Portland, bandar terbesar negeri tersebut.

Gabenor Oregon, Tina Kotek, menafikan wujudnya sebarang ancaman terhadap keselamatan negara di Portland dan menuduh Trump mencetuskan ketegangan demi kepentingan politik.

“Tiada insurksi di Portland. Tiada ancaman keselamatan negara,” katanya.

Trump pula menggambarkan bandar-bandar yang diperintah oleh Demokrat sebagai “medan perang yang dipenuhi anarki” dan menyamakan pemimpin Demokrat dengan pemberontak.

“Demokrat ini macam pemberontak. Mereka amat buruk untuk negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN