WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencuri perhatian apabila memulakan pertemuan rasmi dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dengan pujian terhadap gaya pemakaian pemimpin tersebut bukannya dasar atau isu diplomatik.
Dalam pertemuan di Rumah Putih pada Jumaat, Trump memuji penampilan Zelensky yang disifatkannya sebagai sangat bergaya dan menarik perhatian.
“Saya rasa jaketnya sangat cantik. Ya, cantik. Saya harap orang perasan. Ia benar-benar bergaya, saya suka,” katanya di awal perbincangan yang turut disiarkan oleh media Amerika.
Namun, sesi yang bermula dengan nada santai dan bersahabat itu bertukar tegang apabila kedua-dua pemimpin mula membincangkan isu peperangan di Ukraine serta hasrat Presiden Rusia, Vladimir Putin, untuk mencapai perdamaian.
Penampilan Zelensky sering menjadi perhatian sejak awal konflik, terutamanya selepas pentadbiran Trump sebelum ini mengkritik pakaian militari kasual yang sering dipakainya semasa lawatan rasmi ke Washington pada Februari lalu.
Ketika itu, seorang wartawan bertanya mengapa beliau tidak mengenakan sut, dan Zelensky dengan tegas menjawab, “Saya akan memakai sut selepas perang ini berakhir.”
Tumpuan Trump terhadap rupa paras dan penampilan bukanlah perkara baharu.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beliau semakin kerap memberikan komen berkaitan fizikal sama ada terhadap lelaki mahupun wanita, termasuk pemimpin dunia dan pegawainya sendiri.
Semasa berucap di Knesset Israel pada Isnin lalu, Trump sempat memuji Ketua Angkatan Pertahanan Israel, Jeneral Eyal Zamir, sambil berseloroh, “Orang ini macam pelakon Hollywood. Mari kita ambil dia untuk berlakon dalam filem.”
Walaupun sering dikecam kerana gaya komunikasinya yang luar kebiasaan, Trump jelas kekal dengan personaliti tersendiri menggabungkan politik, diplomasi, dan hiburan dalam setiap penampilan awamnya. -AGENSI