WASHINGTON: Rumah Putih memulakan kerja-kerja pembinaan sebuah dewan besar bernilai AS$200 juta (RM846 juta) atas permintaan Presiden Donald Trump sekaligus bakal menyaksikan perubahan terbesar dalam tempoh lebih tujuh dekad.
Dewan itu dijangka siap sebelum tamat penggal pentadbiran Trump pada awal tahun 2029, menjadikannya perubahan struktur pertama terhadap kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) sejak penambahan Balkoni Truman pada tahun 1948.
Projek tersebut, yang digelar oleh Trump sebagai legasi seni bina baharu Rumah Putih, bakal menambah kemudahan utama kepada bangunan bersejarah itu dikenali sebagai The People’s House sejak beliau kembali ke tampuk pemerintahan pada Januari lalu.
Sepanjang tempoh pentadbiran keduanya, Trump melakukan beberapa pengubahsuaian ketara, termasuk menambah hiasan keemasan dan ukiran malaikat di Pejabat Oval, menggantung potret presiden terdahulu, serta memasang tiang bendera gergasi di halaman utara dan selatan Rumah Putih manakala kawasan Rose Garden juga sedang ditukar daripada rumput kepada lantai batu.
Trump sebelum ini berulang kali menyuarakan keinginannya untuk membina dewan besar baharu bagi acara rasmi, sambil menyindir amalan pentadbiran terdahulu yang menganjurkan jamuan kenegaraan di dalam khemah di halaman Rumah Putih.
“Selama lebih 150 tahun, mereka mahu bina dewan tari-menari di Rumah Putih, tetapi belum ada presiden yang benar-benar mahir tentangnya.
“Saya pandai membina. Kita akan siapkan dengan cepat, tepat pada masa, dan hasilnya akan sangat indah — terbaik dari yang terbaik,” kata Trump kepada pemberita.
Dewan seluas 90,000 kaki persegi itu bakal dibina di kawasan sayap timur dengan kapasiti tempat duduk 650 orang.
Bahagian itu kini menempatkan pejabat Wanita Pertama dan beberapa kakitangan lain, yang akan dipindahkan sementara waktu sepanjang tempoh pembinaan.
Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, memaklumkan pembiayaan projek tersebut akan diperoleh melalui sumbangan Trump dan beberapa penderma lain yang tidak dinamakan.
Firma McCrery Architects yang berpangkalan di Washington dipilih sebagai arkitek utama projek berkenaan, manakala syarikat Clark Construction akan mengetuai kerja pembinaan dengan sokongan kejuruteraan daripada AECOM.
Trump turut mendedahkan kepada NBC News beliau merancang satu lagi projek kecil menggantikan bilik air di Bilik Lincoln yang menurutnya diubah suai dengan teruk agar kembali menyerupai gaya asal abad ke-19. —AGENSI