Trump desak Zionis henti bom Gaza, percaya Hamas akan 'berundur' - Utusan Malaysia

Trump desak Zionis henti bom Gaza, percaya Hamas akan ‘berundur’

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Israel agar segera menghentikan serangan udara di Gaza susulan kenyataan terbaru Hamas yang menunjukkan kesediaan untuk membebaskan tebusan sebagai sebahagian daripada pelan gencatan senjata yang dicadangkan beliau.

Dalam satu kenyataan di platform Truth Social pada Jumaat, Trump berkata berdasarkan kenyataan terbaharu Hamas, beliau percaya mereka bersedia untuk keamanan berkekalan.

“Israel mesti segera hentikan pengeboman Gaza, agar kita dapat bebaskan tebusan dengan selamat dan cepat!” tulisnya.

Tindakan Trump itu dsebagai isyarat tekanan baharu ke atas sekutu rapat AS itu, dalam usaha mempercepatkan proses damai selepas hampir dua tahun konflik di Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran.

Hamas dalam reaksinya menyambut baik kenyataan Trump dan menyifatkannya sebagai “menggalakkan”.

Kumpulan pejuang Palestin itu turut menyatakan kesediaan untuk segera memasuki rundingan dengan perantara antarabangsa bagi mencapai persetujuan pertukaran tahanan, gencatan senjata serta pengunduran tentera Israel dari wilayah yang dikepung.

Sebelum ini, Hamas menyatakan kesediaan untuk menerima sebahagian syarat dalam pelan damai Trump, terutamanya berkaitan pembebasan tebusan, namun enggan memberi sebarang komitmen terhadap syarat perlucutan senjata antara tuntutan utama dalam pelan damai yang dikemukakan oleh Washington dan Tel Aviv.

Hamas turut menegaskan komitmennya untuk membebaskan kesemua tebusan Israel, sama ada masih hidup atau telah terkorban, selagi pelaksanaan pertukaran tersebut dapat dilakukan dengan selamat dan berlandaskan keadaan di lapangan.

Mesir dan Qatar, dua negara perantara utama dalam rundingan damai Gaza, menyatakan harapan agar maklum balas terbaru Hamas ini dapat membuka laluan kepada penyelesaian politik yang lebih konkrit.

Kedua-dua negara kini giat bekerjasama dengan AS dan beberapa negara Eropah untuk membentuk asas bagi gencatan senjata kekal di wilayah itu.

Namun begitu, pelan Trump masih mengandungi beberapa syarat sensitif yang menjadi batu penghalang utama termasuk keperluan perlucutan senjata Hamas, pengunduran bertahap tentera Israel, serta penubuhan kerajaan peralihan yang dikawal sebuah jawatankuasa antarabangsa dinamakan “Board of Peace”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×