LONDON: Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, perlu diberikan peranan yang besar dalam pentadbiran pasca perang di Gaza, menurut Menteri bagi Asia Barat, Hamish Falconer, dalam satu temu bual bersama The Independent.
Falconer memuji kepimpinan serta pengalaman luas Blair, yang dikatakan berpotensi dilantik ke dalam lembaga pentadbiran kerajaan sementara Gaza selepas konflik berakhir.
Menurut laporan, Blair terlibat dalam beberapa perbincangan dengan pegawai utama pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung masa depan pentadbiran wilayah Palestin yang musnah akibat perang dengan Israel itu.
“Saya fikir Tony Blair memiliki pengalaman yang sangat luas, bukan sahaja di Timur Tengah, tetapi juga dalam isu pelucutan senjata seperti yang pernah beliau tangani ketika berunding dengan kumpulan IRA (Tentera Republik Irish).
“Beliau jelas mampu memberikan sumbangan besar,” katanya.
Penyokong Blair menekankan rekod kejayaannya dalam proses perdamaian Ireland Utara serta pengaruhnya dalam kalangan pemimpin Israel dan dunia Arab.
Namun, pengkritiknya masih mengaitkan namanya dengan keputusan Britain menyertai pencerobohan dan pendudukan Iraq pada tahun 2003.
Cadangan melibatkan Blair dalam urusan pentadbiran Gaza dijangka mencetuskan perdebatan baharu, memandangkan legasi politiknya masih dibayangi oleh campur tangan ketenteraan Britain di Timur Tengah lebih dua dekad lalu. -AGENSI










