WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan tiada sesiapa yang akan dipaksa meninggalkan Gaza di bawah pelan gencatan senjata dicadangkannya, sambil menyatakan perjanjian itu kini dimuktamadkan sepenuhnya.
“Tiada siapa akan dipaksa keluar. Kami tidak bercadang untuk berbuat demikian sama sekali,” kata Trump ketika ditanya oleh wartawan sama ada rakyat Palestin akan diarahkan meninggalkan Gaza di bawah perjanjian tersebut.
Trump turut mengesahkan perjanjian gencatan senjata Gaza itu selesai dimuktamadkan dan beliau merancang untuk melawat Asia Barat hujung minggu ini.
“Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang hebat. Saya percaya tebusan akan dibebaskan pada Isnin atau Selasa. Saya mungkin akan berada di sana. Kami merancang untuk berlepas pada Ahad, dan saya menantikan lawatan itu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.
Apabila ditanya mengenai rancangan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, Trump menjelaskan perbincangan masih berjalan.
“Itu masih dalam peringkat perbincangan. Saya fikir akan ada satu kumpulan besar yang menentukan bagaimana bentuknya, serta beberapa negara kaya yang akan membiayainya. Ramai yang mahu melihat pelan ini berjaya dan ia akan berjaya, ia sudah pun bermula,” katanya.
Pada Rabu, Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata yang dicadangkan oleh AS untuk Gaza.
Pelan 20 perkara yang diumumkan pada 29 September itu merangkumi pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran kepada kira-kira 2,000 tahanan Palestin, gencatan senjata kekal, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh wilayah Gaza.
Fasa kedua pelan tersebut mencadangkan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota tentera dari negara Arab dan Islam, serta perlucutan senjata Hamas sepenuhnya.
Selain itu, pelan tersebut turut menetapkan pembiayaan oleh negara-negara Arab dan Islam untuk membangunkan semula Gaza, dengan penyertaan terhad daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Beberapa negara Arab dan Islam dilaporkan menyambut baik pelan itu, namun sebahagian pegawai menegaskan bahawa masih terdapat banyak butiran yang perlu diperincikan dan dirundingkan sebelum pelan berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya. -ANADOLU










