GAZA: Tentera Israel menggunakan kenderaan kawalan jauh dan robot letupan secara besar-besaran di kawasan bandar yang padat untuk meratakan seluruh Gaza City.
Ramai penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan bandar itu tertimbus dan hilang di bawah timbunan runtuhan selepas sebilangan besar bangunan diledakkan tanpa sebarang amaran awal.
Lapor Al Jazeera, tentera Israel menggunakan taktik menanam bahan letupan pada waktu malam dan meledakkannya pada sebelah pagi, menyebabkan ramai terkorban.
Penduduk yang melarikan diri menggambarkan keadaan ngeri sejak serangan diperluaskan bulan lalu.
Sementara itu, Israel mengancam puluhan ribu yang masih berada di Gaza City dengan arahan pengusiran paksa, menyifatkan ia sebagai peluang terakhir untuk melarikan diri atau berdepan dengan ‘kekuatan penuh’ serangan tenteranya.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menulis di laman X, mendakwa sesiapa yang kekal akan dianggap sebagai pengganas dan penyokong pengganas.
Sekurang-kurangnya 53 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak awal pagi Khamis di seluruh Gaza.
Serangan bertubi-tubi terhadap Gaza City yang memusnahkan hampir keseluruhan pusat bandar terbesar di wilayah itu memaksa puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri ke arah selatan, destinasi bahaya yang turut meragut puluhan nyawa setiap hari.
Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud yang melaporkan dari Jalan al-Rashid berkata, tentera Israel mengarahkan orang ramai supaya keluar, kemudian mengejar mereka di laluan pantai menuju ke selatan dengan helikopter tentera, dron dan kereta kebal, sehingga mencetuskan huru-hara.
“Sebahagian besar sebab mengapa orang kini tidak meninggalkan Gaza City adalah kerana rasa takut dan intimidasi yang dicipta oleh tentera Israel sendiri,” katanya.
Ketua Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini mengecam ancaman Israel terhadap rakyat Palestin yang kekal di Gaza City sebagai petanda buruk sesiapa yang tidak mampu atau enggan meninggalkan kawasan itu akan menjadi sasaran tentera Israel.
“Melabelkan hampir 250,000 orang yang kini terperangkap di Gaza City dan utara sebagai ‘pengganas atau penyokong pengganas’ oleh kerajaan Israel merupakan kenyataan yang memberi bayangan tentang rancangan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.










