BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Ahad mengumumkan beliau mengarahkan tentera supaya bersiap sedia memusnahkan rangkaian terowong bawah tanah yang didakwa digunakan kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Agency.
Dalam kenyataan di platform media sosial X, Katz menyifatkan pemusnahan terowong tersebut sebagai cabaran utama bagi Israel selepas fasa pembebasan tebusan sambil menjelaskan bahawa operasi itu akan dijalankan secara langsung oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan melalui mekanisme antarabangsa yang akan ditubuhkan di bawah kepimpinan serta pengawasan Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut mendakwa bahawa pemusnahan terowong itu merupakan tumpuan utama kepada pelucutan senjata Hamas dan penyahmiliteran Gaza seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Presiden AS Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan bagi fasa pertama pelan 20 perkara yang beliau bentangkan pada 29 September lalu.
Antara perkara yang dipersetujui adalah gencatan senjata di Gaza, membebaskan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan sekitar 2,000 tahanan Palestin, serta penarikan berperingkat tentera Israel dari seluruh Gaza.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza itu mula berkuat kuasa tengah hari Jumaat, dengan tentera Israel melengkapkan penarikan secara berperingkat ke garisan kuning, membuka tempoh 72 jam bagi pelaksanaan proses pertukaran tebusan dan tahanan.
Fasa kedua pelan berkenaan pula merangkumi penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota dari negara Arab dan Islam, dan pelucutan senjata kumpulan tersebut.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 67,600 penduduk Palestin di Gaza dengan kebanyakan wanita dan kanak-kanak serta menjadikan wilayah itu tidak lagi sesuai didiami. -AGENSI