ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan adalah menjadi tanggungjawab utama dunia Islam untuk memastikan rakyat Palestin menikmati keamanan berkekalan sebelum menjadi kewajipan masyarakat antarabangsa.
Dalam ucapan pembukaan sidang baharu Parlimen Turkiye semalam, Erdogan berkata institusi itu telah lulus ujian Gaza dengan penuh kebanggaan dan berpendirian tegas menentang kekejaman Israel.
“Gaza sudah cukup dengan darah, air mata dan kehancuran. Aib ini mesti dihentikan segera,” tegasnya sambil menekankan Turkiye akan terus berjuang sehingga sebuah negara Palestin berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara diwujudkan mengikut sempadan 1967.
Kenyataan Erdogan hadir beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelan 20 perkara untuk menamatkan perang Israel di Gaza, termasuk cadangan pertukaran tahanan, perlucutan senjata Hamas, pengunduran berperingkat tentera Israel serta penubuhan jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mentadbir wilayah itu.
Namun, rancangan itu hanya membuka kemungkinan bukan jaminan ke arah penubuhan negara Palestin.
Erdogan menegaskan pendirian tegas Turkiye terhadap isu Gaza akan menjadikan negaranya suara moral bagi zaman ini yang akan terpahat dalam sejarah.
Beliau turut memuji keberanian rakyat Palestin yang menurutnya tidak pernah ditinggalkan oleh Turkiye walaupun berdepan senjata tercanggih dunia.
Dalam ucapannya, Erdogan turut mengulangi komitmen Turkiye untuk mempertahankan hak Palestin dan kedudukan Baitulmaqdis sehingga ke nafas terakhir, sambil menyatakan harapan agar masa depan yang aman, damai dan selamat dapat dinikmati rakyat Palestin dari sungai hingga ke laut.
Sementara itu, menyentuh isu Syria, Erdogan menegaskan Turkiye sentiasa menyokong keutuhan wilayah negara itu dan menentang keras sebarang cubaan memecah-belahkan.
Beliau memberi amaran sekiranya usaha diplomatik gagal, Ankara tidak akan membiarkan tragedi lama di Syria berulang.
Untuk rekod, Presiden Syria, Bashar al-Assad yang memerintah hampir 25 tahun melarikan diri ke Russia pada Disember lalu sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963 dan sebuah pentadbiran peralihan baharu diketuai oleh Ahmad al-Sharaa ditubuhkan pada Januari tahun ini. -AGENSI










