MOSCOW: Presiden Syria, Ahmed Al-Sharaa menyatakan hasrat untuk menyusun semula hubungan negaranya dengan Moscow ketika bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, dalam pertemuan rasmi pertama mereka sejak penggulingan Bashar Al-Assad tahun lalu.
Dalam pertemuan yang disiarkan di televisyen, Putin menyambut Sharaa dengan mesra di Kremlin. Namun, di sebalik pintu tertutup, pemimpin Syria itu dilaporkan dijangka menekan Russia agar menyerahkan Assad, yang kini berlindung di negara tersebut selepas digulingkan.
Antara isu utama yang turut dijangka dibincangkan ialah status pangkalan tentera Russia di Syria, termasuk pangkalan laut di Tartus dan pangkalan udara di Hmeimim yang kini menjadi tanda tanya selepas pengambilalihan kuasa oleh pihak pemberontak.
Russia sebelum ini merupakan sekutu utama Assad sepanjang 14 tahun perang saudara berdarah di Syria, memberikan bantuan ketenteraan penting yang mengekalkan pemerintahannya.
Namun, pada Disember tahun lalu, Assad digulingkan melalui serangan besar-besaran yang diketuai oleh pasukan Islamis pimpinan Sharaa, sebelum melarikan diri ke Russia bersama keluarganya di mana mereka telah mendapat perlindungan selama hampir 10 bulan.
Dalam ucapan pembukaan pertemuan itu, Sharaa mengakui hubungan lama antara kedua-dua negara tetapi menegaskan keperluan untuk menyemak dan mentakrifkan semula hubungan tersebut dalam konteks Syria yang baharu.
“Kami sedang berusaha untuk memulihkan dan mentakrifkan semula hubungan ini supaya Syria dapat berdiri sebagai sebuah negara berdaulat, Bersatu dan stabil,” katanya kepada Putin.
Putin pula menegaskan bahawa hubungan ‘istimewa’ antara Moscow dan Damsyik telah terjalin selama berdekad-dekad dan kekal penting bagi kedua-dua negara.
Menurut media rasmi Russia, pertemuan tersebut berlangsung selama lebih dua jam setengah, dan selepas itu, Moscow mengumumkan kesediaannya untuk terus memainkan peranan dalam pengeluaran minyak mentah Syria.
“Syarikat-syarikat Russia telah lama beroperasi di medan minyak Syria dan kini kami bersedia untuk terlibat dalam beberapa kawasan baharu,” kata Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak kepada agensi berita TASS.
Russia yang mula melancarkan serangan udara ke kawasan dikuasai pemberontak pada tahun 2015, turut menyatakan komitmen untuk membantu membangunkan semula Syria yang musnah akibat perang berpanjangan.
“Syarikat kami berminat untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan dan memulihkan sistem tenaga di Syria,” tambah Novak. -AGENSI