Serang Doha: Israel sedia bayar ganti rugi kepada Qatar

Serang Doha: Israel sedia bayar ganti rugi kepada Qatar

BARISAN pemimpin Qatar menunaikan solat jenazah beberapa anggota Hamas yang maut dalam serangan Israel di Doha pada 11 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel menyatakan kesediaan membayar pampasan kepada keluarga pegawai keselamatan Qatar yang terkorban dalam serangan udara terhadap pemimpin Hamas di Doha, menurut laporan penyiar awam Kan yang memetik kenyataan pegawai Israel.

Pegawai keselamatan itu maut ketika bertugas berhampiran lokasi kehadiran beberapa pemimpin kanan Hamas yang menjadi sasaran utama operasi ketenteraan Israel.

Laporan ini muncul selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon maaf secara rasmi kepada Qatar berhubung insiden itu.

Namun, tidak dapat dipastikan bilakah tawaran pampasan itu akan disampaikan kepada Qatar.

Kesediaan Israel untuk membayar pampasan bukan sesuatu yang baharu.

Pada 2016, negara itu pernah membayar AS$20 juta (RM84 juta) kepada Turkiye sebagai pampasan terhadap insiden berdarah serbuan kapal flotila Mavi Marmara pada 2010 yang menyaksikan kematian sembilan aktivis, sekali gus menyebabkan hubungan tegang antara Ankara dan Tel Aviv.

Pegawai-pegawai keselamatan kanan Israel dilaporkan terkejut dengan permohonan maaf Netanyahu, kerana mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai tindakan diplomatik itu.

Situasi ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pihak keselamatan mengenai pendekatan unilateral Netanyahu dalam isu sensitif tersebut.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri Israel masih belum memberikan sebarang komen rasmi berkenaan laporan pampasan dan permohonan maaf tersebut.

Insiden serangan di Doha yang menyasarkan pemimpin kanan Hamas dipercayai menjadi faktor utama terhentinya rundingan gencatan senjata yang dirangka antara Israel dan Hamas, dengan Qatar bertindak sebagai perantara utama.

Permohonan maaf ini sebagai satu langkah penting dalam meredakan ketegangan diplomatik antara Tel Aviv dan Doha yang memainkan peranan utama dalam rundingan pembebasan tebusan serta usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN