WASHINGTON: Pemimpin Parti Republikan kebanyakannya memilih untuk berdiam diri ketika jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) turun ke jalan menyerta protes besar-besaran dikenali sebagai gerakan ‘No Kings’ pada Sabtu, menentang dasar Presiden Donald Trump yang bersifat autoritarian, terutama dalam isu imigresen, pendidikan dan keselamatan.
Namun, protes berlangsung dalam suasana seperti pesta jalanan yang penuh simbolik dan damai, tiada provokasi mahupun keganasan dilaporkan sebaliknya peserta membawa sepanduk besar bertulis ‘We the People’, bermain muzik dengan pancaragam dan memakai kostum kembung berbentuk katak, simbol baharu gerakan penentangan terhadap Trump.
Sikap membisu pemimpin Republikan pada Sabtu agak ketara, berbanding kenyataan keras mereka minggu sebelumnya yang menuduh Hari No Kings sebagai ‘hari kebencian terhadap AS’, ‘dipenuhi penyokong Hamas’ dan punca Demokrat menangguhkan rundingan untuk menamatkan penutupan kerajaan yang kini memasuki hari ke-18.
Beberapa tokoh Republikan turut menyifatkan peserta perhimpunan sebagai komunis dan ‘Marxis’, malah mendakwa pemimpin Demokrat seperti Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer, yang turut berarak di New York, kini ditawan secara politik oleh kumpulan kiri radikal.
Dalam wawancara bersama Fox News pada Jumaat, Trump menolak dakwaan bahawa beliau berlagak seperti raja. “Mereka kata saya dianggap raja. Saya bukan raja,” katanya.
Namun pada hari sama, akaun kempen Trump di media sosial memuat naik video komputer yang menggambarkan beliau berpakaian seperti raja, lengkap dengan mahkota dan melambai dari balkoni seolah-olah mengejek peserta protes.
Sebagai tindak balas, Senator JD Vance dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth menghadiri demonstrasi ketenteraan di Camp Pendleton, California, bagi memperingati ulang tahun ke-250 Kor Marin AS.
Namun, rancangan untuk menembak peluru artileri hidup di atas lebuh raya berhampiran menerima bantahan daripada Gabenor California, Gavin Newsom, yang berkata langkah itu memaksa polis menutup sebahagian jalan utama demi keselamatan.
“Presiden meletakkan egonya melebihi tanggungjawab dengan mengabaikan keselamatan awam. Menembak peluru hidup di atas lebuh raya sibuk bukan sahaja salah, ia berbahaya,” kata Newsom dalam kenyataan rasmi.
Dalam masa sama, Vance turut menimbulkan kontroversi apabila memuat naik kenyataan di platform X, mengaitkan calon Datuk Bandar New York daripada Demokrat, Zohran Mamdani dengan Imam Siraj Wahhaj yang pernah dinamakan dalam senarai ‘konspirator tidak didakwa’ kes pengeboman Pusat Dagangan Dunia 1993.
“Saya diberitahu bahawa Demokrat menentang segala bentuk keganasan politik. Jadi saya menanti mereka mengutuk Mamdani kerana berkempen dengan seseorang yang pernah dikaitkan dalam plot pengganas yang membunuh enam rakyat New York,” tulisnya. -AGENSI