Rampas Tebing Barat, Israel hilang semua sokongan AS – Trump

Rampas Tebing Barat, Israel hilang semua sokongan AS – Trump

TENTERA Israel berkawal di kawasan penempatan haram Yahudi di Kobar, berhampiran Ramallah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran Israel akan kehilangan sepenuhnya sokongan daripada Washington jika meneruskan rancangan untuk merampas  Tebing Barat.

Dalam temu bual eksklusif bersama Time Magazine, Trump berkata tindakan tersebut bertentangan dengan janjinya kepada negara-negara Arab dan bakal menjejaskan hubungan diplomatik yang dibina antara Israel dengan dunia Arab.

“Saya sudah memberi jaminan kepada negara Arab yang perkara (rampas Tebing Barat) itu tidak akan berlaku.

“Jika Israel meneruskan langkah itu, mereka akan hilang semua sokongan daripada AS,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Parlimen Israel (Knesset) meluluskan bacaan awal dua rang undang-undang bagi mengenakan kedaulatan Israel terhadap penempatan di Tebing Barat, termasuk bandar utama Ma’ale Adumim.

Keputusan itu dibuat walaupun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu serta majoriti ahli parti Likud menentangnya.

Timbalan Presiden AS, J.D. Vance yang ketika itu berada di Israel, turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan tersebut. Beliau menyifatkannya sebagai ‘aksi politik yang bodoh’ dan menegaskan dasar AS kekal iaitu Israel tidak akan dibenarkan rampas Tebing Barat.

“Kami tidak menyokong tindakan seperti itu. Jika mereka mahu membuat undian simbolik, itu hak mereka, tetapi kami sama sekali tidak bersetuju,” katanya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula memberi amaran langkah Knesset itu boleh menjejaskan pelan damai yang sedang dirangka oleh pentadbiran Trump bagi menamatkan konflik Israel-Hamas di Gaza.

Katanya, sebarang usaha rampasan akan mengancam peluang untuk mencapai keamanan yang mampan.

Pejabat Perdana Menteri Israel menjelaskan undian tersebut hanyalah satu provokasi politik oleh pihak pembangkang dan tidak mencerminkan dasar kerajaan.

Menurut kenyataan rasmi, rang undang-undang itu tidak akan diteruskan tanpa sokongan penuh parti Likud.

Penganalisis politik melihat amaran keras daripada Trump sebagai isyarat jelas Washington tidak lagi bersedia memberi perlindungan diplomatik tanpa syarat kepada Israel.

Trump turut mendedahkan beliau sendiri campur tangan bagi menghentikan perang di Gaza, yang menurutnya boleh berlarutan ‘bertahun-tahun’ jika tidak dikawal.

Katanya, keamanan hanya boleh dicapai melalui kerjasama antara Israel, negara Arab dan masyarakat antarabangsa, bukan melalui tindakan unilateral seperti rampasan wilayah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN