WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran keras kepada Israel tidak meneruskan rancangan menduduki Tebing Barat.
Dalam temu bual eksklusif bersama majalah Time pada 15 Oktober lalu, hanya beberapa hari selepas pelan gencatan senjata di Gaza yang dirintis pentadbirannya mula berkuat kuasa, Trump menolak desakan sesetengah pihak di Israel yang mahu melaksanakan aneksasi wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 itu.
“Itu tidak akan berlaku kerana saya telah memberi jaminan kepada negara-negara Arab,” tegas beliau sambil menambah Israel akan kehilangan semua sokongan daripada AS sekiranya meneruskan rancangan tersebut.
Amaran keras itu dikeluarkan ketika Naib Presiden AS, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio sedang melakukan lawatan rasmi ke Israel bagi menilai perkembangan terkini gencatan senjata di Gaza.
Bagaimanapun, ketegangan meningkat selepas Parlimen Israel pada Rabu meluluskan dua rang undang-undang awal yang membuka jalan kepada aneksasi Tebing Barat — langkah yang mencetuskan kecaman keras daripada Vance, Rubio serta beberapa negara Arab.
Menurut laporan media Arab Saudi, lebih 12 buah negara termasuk Arab Saudi, Jordan dan Turkiye mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan Parlimen Israel, menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan ancaman kepada kestabilan rantau itu.
Rubio, yang turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata lawatannya bertujuan memperkukuh hubungan dua hala namun memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh menggugat gencatan senjata yang masih rapuh di Gaza.
Dalam sidang media berasingan, JD Vance pula menyifatkan keputusan Parlimen Israel sebagai “sandiwara politik yang sangat bodoh”.
“Tebing Barat tidak akan dianeksasi oleh Israel. Dasar pentadbiran Trump jelas dan tegas – ia tidak akan berlaku, dan dasar ini akan terus dikekalkan,” katanya.










