Pemimpin dunia seru konflik Gaza ditamatkan segera

Pemimpin dunia seru konflik Gaza ditamatkan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Masyarakat antarabangsa menyeru agar konflik di Gaza ditamatkan secara kekal serta bantuan kemanusiaan disalurkan segera selepas Israel dan Hamas bersetuju memeterai fasa pertama perjanjian gencatan senjata di wilayah itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya perjanjian itu, memastikan pembebasan tahanan secara bermaruah, pelaksanaan gencatan senjata kekal, dan kemasukan segera bantuan kemanusiaan serta barangan komersial penting ke Gaza tanpa sekatan.

Nada sama turut disuarakan oleh pemimpin Turkiye, Mesir, Arab Saudi, United Kingdom (UK), Australia Kanada dan Kesatuan Eropah (EU), yang menuntut pelaksanaan segera perjanjian, penghapusan sekatan ke atas bantuan ke Gaza selain menyeru semua pihak agar menunaikan komitmen membina asas kepada penyelesaian adil serta damai yang berkekalan.

Pengumuman itu umpama detik kelegaan mendalam yang akan dirasai di seluruh dunia, khususnya bagi para tebusan, keluarga mereka dan penduduk awam Gaza.

“Perjanjian ini mesti dilaksanakan sepenuhnya tanpa kelewatan, dan disertai dengan penghapusan segera semua sekatan terhadap bantuan kemanusiaan. Kami menyeru semua pihak menamatkan perang dan membina asas bagi keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez memuji pelan damai Gaza yang digerakkan Trump, sambil menegaskan kini adalah masanya untuk menyokong penduduk awam Palestin yang sudah lama menderita akibat konflik.

“Kini adalah masa untuk berunding, menyokong penduduk awam dan melihat masa depan dengan harapan namun juga dengan keadilan serta ingatan, agar kekejaman yang dialami tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, turut menekankan kedua-dua pihak perlu mematuhi sepenuhnya perjanjian berkenaan.

“Hamas perlu membebaskan semua tebusan, dan Israel mesti berundur ke garisan yang sudah dipersetujui. Ini adalah langkah penting pertama ke arah mencapai keamanan yang berkekalan. Kami menggesa Israel dan Hamas untuk terus berusaha ke arah penyelesaian menyeluruh,” tegasnya.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, menyuarakan ‘optimisme berhati-hati’ terhadap perjanjian itu dan berkata ia harus disambut baik oleh masyarakat antarabangsa.

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, pula menyifatkan “khabar baik sedang datang dari Asia Barat sambil menegaskan Itali bersedia membantu menstabilkan gencatan senjata dan menyertai usaha pembinaan semula Gaza.

Tajani berkata, Itali juga bersedia menghantar pasukan tenteranya sekiranya pasukan pengaman antarabangsa dibentuk bagi memantau pelaksanaan perjanjian tersebut.

Amnesty International pula menegaskan gencatan senjata ini mesti menjadi langkah ke arah menamatkan pendudukan haram dan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, sambil memberi amaran penghentian sementara sahaja tidak memadai.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, Beijing berharap agar satu gencatan senjata yang kekal dan menyeluruh di Gaza dapat dicapai secepat mungkin, sambil menegaskan China berpegang kepada prinsip Palestin harus diperintah oleh rakyatnya sendiri.AFP/-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN