CARACAS: Pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada Jumaat, menyatakan sokongan terbuka kepada Israel dan berikrar untuk memindahkan kedutaan negaranya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis jika dipilih sebagai presiden, lapor Anadolu Agency.
“Saya percaya, dan saya boleh mengumumkan bahawa kerajaan kami akan memindahkan kedutaan Israel ke Baitulmaqdis,” kata Machado dalam satu temu bual bersama saluran televisyen Israel.
“Saya berjanji, suatu hari nanti Venezuela akan menjalin hubungan rapat dengan Israel. Itu akan menjadi sebahagian daripada sokongan kami terhadap negara Israel,” tambahnya.
Pada tahun 2009, di bawah pentadbiran mendiang Hugo Chavez, Venezuela memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan mengusir duta besar Israel sebagai tanda bantahan terhadap perang Gaza 2008–2009.
Pada September lalu, Machado turut menjadi penyokong lantang terhadap rancangan peluasan ketenteraan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di kawasan Caribbean, dengan menyuarakan pandangan bahawa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, merupakan ancaman besar kepada keselamatan serantau.
“Ini tentang menyelamatkan nyawa,” katanya dalam temu bual bersama Fox News bulan lalu susulan tindakan ketenteraan AS terhadap bot yang disyaki digunakan untuk penyeludupan dadah di Caribbean.
“Bukan sahaja nyawa rakyat Venezuela, tetapi juga rakyat AS, kerana seperti yang anda katakan, dan seperti yang kami dengar, Maduro adalah ketua kepada struktur narco-pengganas yang bekerjasama,” ujarnya. -AGENSI