Netanyahu bertanding jawatan Perdana Menteri Israel pada 2026, yakin menang - Utusan Malaysia

Netanyahu bertanding jawatan Perdana Menteri Israel pada 2026, yakin menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan beliau akan sekali lagi bertanding mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada November 2026, dan menyatakan keyakinan beliau akan menang.

Dalam satu temu bual eksklusif yang disiarkan saluran sayap kanan konservatif Channel 14, Netanyahu ditanya secara langsung sama ada beliau berhasrat untuk kekal sebagai perdana menteri.

Beliau menjawab ringkas tetapi tegas: “Ya.” Ketika ditanya sama ada beliau menjangka akan menang, beliau sekali lagi mengulangi dengan yakin: “Ya.”

Netanyahu, yang juga ketua parti Likud, kini memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, dengan tempoh perkhidmatan melebihi 18 tahun secara keseluruhan sejak kali pertama dilantik pada tahun 1996.

Dalam pilihan raya terakhir, parti Likud memenangi 32 kerusi di Knesset (Parlimen Israel), dan membentuk blok kanan dengan sokongan sekutu ultra-Ortodoks yang memperoleh 18 kerusi, serta parti gabungan Religious Zionism yang menyumbang 14 kerusi.

Walau bagaimanapun, penggal semasa pentadbiran Netanyahu dicemari oleh kontroversi, terutamanya rancangan untuk merombak sistem kehakiman Israel, yang mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara selama beberapa bulan, dengan puluhan ribu rakyat turun ke jalanan hampir setiap hari.

Situasi bertambah tegang selepas serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan peperangan berdarah di Gaza.

Netanyahu kini berdepan kritikan hebat daripada rakyat Israel, khususnya keluarga tebusan, yang menuduh beliau gagal menguruskan krisis dan rundingan pembebasan tahanan dengan berkesan.

Namun, di sebalik tekanan dalaman, krisis keselamatan, dan kemerosotan sokongan dalam kalangan pengundi moderat, Netanyahu menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi dan kekal yakin akan meneruskan kepimpinannya selepas pilihan raya akan datang.

Beliau turut memberi isyarat bahawa agenda blok kanan termasuk isu keselamatan dan ketegasan terhadap musuh Israel akan terus menjadi teras kempen beliau menjelang 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN