GAZA: Nasib Ketua kumpulan samseng Popular Force yang disokong Israel, Yasser Abu Shabab kekal misteri selepas laporan mendakwa beliau sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan terburuk apabila perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza mula berkuat kuasa.
Jurucakap tentera rejim mengumumkan militia yang bekerjasama dengan tentera Israel di Gaza tidak akan dibenarkan memasuki wilayah Israel dan mesti menghadapi nasib mereka sendiri.
“Tentera tidak memaksa sesiapa untuk memerangi Hamas, dan mereka perlu menanggung akibat keputusan mereka,” kata kenyataan itu.
Beberapa sumber rasmi serta media Israel menunjukkan sikap gembira dan sindiran terhadap nasib Abu Shabab termasuk laman berita berbahasa Ibrani, Hadashot Yisrael yang memuat naik komen sinis terhadap beliau dan anggota kumpulannya.
“Kini perang sudah berakhir, Hamas akan kembali beroperasi bebas di Gaza. Selamat maju jaya kepada Yasser Abu Shabab dan kumpulan lain di Gaza yang bekerjasama dengan Israel,” kata komen itu.
Beberapa laporan perbandingan media menyamakan peranannya dengan pemimpin militia Lubnan, Saad Haddad dan Antoine Lahad yang pernah bekerjasama dengan Israel di selatan Lubnan.
Perkhidmatan keselamatan dalam negeri Israel (Shin Bet) dilaporkan melihat Abu Shabab sebagai watak penting dalam melindungi askar Israel serta mengurangkan korban tentera.
Dikenali dengan gelaran ‘Pablo Escobar Gaza’, Abu Shabab dan kumpulannya berperanan sebagai perisai manusia dan pengganti tentera Israel di lapangan.
Misi utama kumpulan ini termasuk merompak lori bantuan, menghalang agihan bekalan kemanusiaan serta melepaskan tembakan ke arah orang awam bagi mencetuskan kekacauan, tindakan yang mempercepat keruntuhan kehidupan sivil di Gaza serta menghapuskan sebarang harapan untuk pemulihan semula wilayah itu.
Shin Bet dikatakan merancang projek ini bagi membentuk kumpulan bersenjata di Gaza sebagai pasukan alternatif untuk menentang Hamas dan proses persenjataan dijalankan secara rahsia di bawah penyeliaanbadan itu, melibatkan pemindahan puluhan malah ratusan senjata ringan seperti pistol dan raifal Kalashnikov, kebanyakannya hasil rampasan tentera Israel di Gaza.
Pegawai Israel mengakui kumpulan ini terlibat dalam pengedaran dadah, pemerasan, dan penjarahan lori bantuan tanpa sebarang kaitan dengan perjuangan kebangsaan Palestin. Mereka juga mengakui kumpulan ini tidak mempunyai kelayakan untuk mentadbir Rafah selepas perang berakhir.
Konsensus dalam media Israel menggambarkan kumpulan ini sebagai sekadar ‘tali barut’ yang memainkan peranan sementara untuk kepentingan pendudukan.
Isu ini tidak terhad kepada kumpulan Abu Shabab sahaja. Pihak berkuasa pendudukan mengakui sekurang-kurangnya tiga kumpulan seumpamanya dibekalkan senjata dan dana bagi mengisi kekosongan keselamatan dan politik, serta memburu pejuang Hamas dan Jihad Islam tanpa menampakkan penglibatan langsung Israel.
Kumpulan-kumpulan ini dilaporkan tidak dibekalkan senjata standard Israel, sebaliknya menerima senjata rampasan dari Gaza dan Lubnan Selatan bagi menampakkan seolah-olah ia hasil rampasan perang, bukan bantuan rasmi rejim.
Mereka turut menerima gaji bulanan dan permit senjata daripada tentera Israel, menjadikan mereka seperti tentera upahan tempatan yang berkhidmat untuk pendudukan atas nama Palestin.
Menurut laporan Haaretz, tugas mereka termasuk mengumpul maklumat risikan, memantau kawasan yang telah dibersihkan daripada pejuang Hamas dan Jihad Islam, serta membantu mengawal keselamatan di kawasan sesak dengan pelarian di selatan Gaza.
Akhbar berbahasa Ibrani, Israel Hayom mendedahkan wujud pertikaian keselamatan antara tentera Israel dan Shin Bet mengenai nasib kumpulan militia yang dibentuk sepanjang perang Gaza.
Shin Bet mencadangkan agar ahli militia ini dipindahkan ke kem tertutup di kawasan Gaza bagi melindungi mereka dan mengekalkan kawalan keselamatan.
Namun cadangan itu ditolak keras oleh pihak tentera, dengan alasan risiko yang dibawa oleh unsur-unsur ini terhadap penempatan Israel lebih besar daripada keperluan untuk melindungi mereka.
Keputusan itu turut dipengaruhi laporan Risikan Tentera (AMAN) yang mendapati beberapa ahli militia melarikan diri selepas menerima jaminan pengampunan daripada Hamas.
Lapor Palestine Chronicle, ketika perang berakhir, Israel dilihat mula meninggalkan sekutu tempatan mereka secara senyap.
“Hubungan sementara ini mencerminkan dasar lama Israel dalam mengeksploitasi keselamatan dan sosial menggunakan militia sebagai alat operasi sementara, sebelum dibuang begitu sahaja seperti sisa perang,” jelas laporan itu.










