NEW YORK: Satu draf usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa Eropah giat disiapkan bagi menubuhkan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza yang bakal diberi kuasa penuh untuk mengawal keselamatan wilayah itu, menurut sumber diplomatik.
Pasukan tersebut dijangka dipimpin oleh Mesir, dengan sokongan kuat daripada AS yang mahu ia beroperasi di bawah mandat PBB tanpa perlu menjadi misi pengaman penuh seperti biasa.
Selain Mesir, Turkiye, Indonesia dan Azerbaijan turut disenaraikan sebagai penyumbang utama kekuatan tentera bagi pasukan berkenaan.
Mesir bagaimanapun masih dipertimbangkan sama ada pasukan itu akan diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan PBB.
Tiada penyertaan pasukan tentera Eropah atau Britain dijangka, namun Britain telah menghantar beberapa penasihat ketenteraan untuk menyertai sel kecil yang dikendalikan AS di Israel bagi melaksanakan fasa kedua pelan 20 perkara yang dibangunkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Britain menegaskan matlamat akhir inisiatif ini adalah pembentukan sebuah negara Palestin yang diiktiraf sepenuhnya sebagai entiti tunggal merangkumi Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Ketika ini, Britain telah melatih pasukan polis Palestin, namun di bawah cadangan baharu, pasukan antarabangsa itu akan diberikan tanggungjawab utama menjaga keselamatan dan kestabilan Gaza.
Sekiranya pasukan berkenaan berjaya beroperasi dengan berkesan, Israel dijangka menarik balik lebih banyak kawalan tenteranya.
Walau bagaimanapun, Tel Aviv dilaporkan tetap berhasrat mengekalkan zon penampan luas di sempadan Gaza bagi mengelak serangan baharu oleh Hamas.
Diplomat Britain mengakui isu perlucutan senjata Hamas akan menjadi cabaran paling besar, dan London kini mencadangkan pendekatan berasaskan pengalaman rundingan damai Ireland Utara di mana senjata milik kumpulan bersenjata seperti IRA diletakkan di bawah pemantauan badan bebas.
Difahamkan, Hamas hanya bersedia melucutkan senjata berat seperti pelancar roket dan misil kepada badan yang diketuai Palestin, bagi mengelak tafsiran menyerah kalah namun, pihak ketiga dijangka dilantik bagi mengesahkan proses tersebut untuk jaminan keselamatan Israel. – AGENSI