GAZA: Setelah beberapa hari rundingan diadakan di Mesir antara Hamas dan Israel, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya mengumumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan fasa pertama perjanjian yang membolehkan pembebasan segera semua tebusan dan rangka kerja keamanan di Gaza.
Pengumuman itu mencetuskan harapan baharu kepada rakyat Palestin yang mengimpikan keamanan berkekalan di Gaza selepas dua tahun serangan Zionis memusnahkan keseluruhan wilayah dan meragut lebih 67,000 nyawa.
Israel menggagalkan banyak usaha pengantaraan sepanjang dua tahun lalu, namun Trump dilihat memberikan tekanan yang lebih besar dalam langkah kali ini.
Serangan tanpa henti Israel meratakan 90 peratus bangunan di Gaza, termasuk hospital, universiti dan seluruh kejiranan, menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persatuan Ulama Genosid Antarabangsa yang mengiktiraf tragedi itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Meskipun gencatan senjata yang berkekalan dapat dicapai, rakyat Palestin di Gaza berdepan tugas amat mencabar untuk membina semula tanah air mereka yang musnah.
KEBIMBANGAN KONFLIK DALAMAN
PBB menganggarkan Gaza memerlukan lebih daripada AS$50 bilion (RM210 bilion) bagi tujuan pembinaan semula, dan usaha membangunkan wilayah itu agar dapat kembali didiami mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun, dengan syarat sekatan haram Israel tidak menghalang proses tersebut.
Menurut kertas dasar Institusi Brookings pada 2017, sekatan tersebut menjejaskan usaha pembinaan semula selepas beberapa peperangan singkat sebelum ini.
Pakar dari Gaza yang kini berpangkalan di Doha bersama Kumpulan Krisis Antarabangsa, Azmi Keshawi berkata, sebarang senario pasca perang memerlukan tekanan serantau dan antarabangsa terhadap Israel bagi membolehkan kemasukan bahan binaan.
“Rakyat Palestin mampu melakukan apa sahaja untuk mendapatkan semula kehidupan mereka. Tetapi hanya keazaman untuk pembinaan semula tidak cukup, ia bukan sekadar bergantung kepada mereka,” katanya kepada Al Jazeera.
Walaupun pembinaan semula penting untuk masa depan Gaza, terdapat kebimbangan wilayah tersebut boleh terjerumus ke dalam keadaan huru-hara dan konflik jika Hamas melepaskan kuasa, antara syarat yang terkandung dalam pelan Trump.
“Antara kelebihan apabila Hamas mentadbir Gaza adalah mereka menegakkan keselamatan,” jelas wartawan dari Gaza, Yaser al-Banna.
Sepanjang genosid berlangsung, Israel secara sengaja membunuh anggota keselamatan Gaza dan menyokong kumpulan samseng yang terkenal merompak bantuan masuk ke wilayah itu untuk dijual semula bagi mengaut keuntungan maksimum.
Keshawi percaya kumpulan terbabit tidak bertahan jika Israel berundur sepenuhnya dari Gaza, dan yakin masyarakat Palestin sendiri akan menyingkirkan puak yang dianggap pengkhianat oleh kebanyakan penduduk.
Beliau turut memberi amaran konflik antara puak, khususnya Fatah dan Hamas, juga boleh menjadi cabaran besar kepada pembinaan semula Gaza.
KANAK-KANAK TRAUMA, KEMURUNGAN
Mereka yang terpaksa kekal di Gaza kini berdepan trauma mendalam dengan terpaksa menerima hakikat kehilangan anggota keluarga, rumah dan masa depan akibat serangan kejam Israel.
Dalam tinjauan yang dijalankan pada 2022 sebelum perang 7 Oktober 2023, Save the Children mendapati empat daripada lima kanak-kanak di Gaza dilaporkan hidup dalam kemurungan dan ketakutan.
Menurut Doktor Tanpa Sempadan (MSF), trauma kolektif yang dialami rakyat Palestin di Gaza akibat genosid tidak pernah disaksikan atau dikaji dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lalu, pakar psikiatri MSF, Ahmad Mahmoud al-Salem, merawat kanak-kanak dari Gaza di sebuah klinik di Amman Jordan, dan mendapati kebanyakan mereka sering mengalami mimpi ngeri, kemurungan dan insomnia yang teruk.
“Apa yang dialami oleh kanak-kanak Gaza kini sukar untuk dibayangkan,” kata pensyarah kanan kehormat di Institut Psikiatri London, Derek Summerfield, kepada Al Jazeera.
Beliau menjelaskan terdapat sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak tanpa penjaga di Gaza, dan belum tentu mereka dijamin keselamatan dan masa depan.
“Masa depan mereka ini tidak bergantung kepada kemampuan mengatasi trauma kerana ia belum berakhir. Ia bergantung pada apa yang akan berlaku kepada masyarakat di sekeliling mereka,” katanya.










