Mahkamah Bangladesh tetapkan 13 November umum keputusan kes Sheikh Hasina - Utusan Malaysia

Mahkamah Bangladesh tetapkan 13 November umum keputusan kes Sheikh Hasina

SHEIKH HASINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Mahkamah di Bangladesh bakal mengumumkan keputusan kes jenayah terhadap kemanusiaan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, pada 13 November ini, menurut Peguam Negara Md Asaduzzaman selepas perbicaraan kes itu tamat semalam.

Hasina, 78, yang kini berada di India, enggan kembali ke Bangladesh untuk menghadapi tuduhan mengarahkan tindakan keras berdarah dalam usaha gagal menumpaskan kebangkitan pelajar tahun lalu.

“Jika beliau benar-benar percaya kepada sistem keadilan negara, beliau sepatutnya pulang untuk dibicarakan,” kata Asaduzzaman dalam hujah penutup perbicaraan yang berlangsung hampir lima bulan di Dhaka.

Perbicaraan tanpa kehadiran Hasina yang bermula pada 1 Jun lalu mendengar pelbagai keterangan saksi yang mendakwa beliau mengarahkan pembunuhan beramai-ramai antara Julai hingga Ogos 2024, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah meragut sehingga 1,400 nyawa.

Pendakwaan mengemukakan lima pertuduhan, termasuk gagal mencegah pembunuhan yang diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di bawah undang-undang Bangladesh.

Pendakwa raya turut menuntut hukuman mati sekiranya Hasina didapati bersalah.

Ketua Pendakwa, Tajul Islam, mendakwa Hasina sebagai paksi utama segala jenayah ketika kebangkitan itu berlaku.

Dua lagi tertuduh ialah bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal yang turut melarikan diri serta bekas Ketua Polis Negara, Chowdhury Abdullah Al-Mamun, yang kini ditahan dan telah mengaku bersalah.

Seorang saksi memberitahu mahkamah wajahnya hancur ditembak, manakala pendakwa raya turut menayangkan rakaman audio yang disahkan polis, didakwa menunjukkan Hasina mengarah pasukan keselamatan menggunakan senjata maut terhadap penunjuk perasaan.

Hasina yang diwakili peguam dilantik kerajaan, enggan mengiktiraf bidang kuasa mahkamah dan menolak semua tuduhan.

Peguam bela Md Amir Hossain mendakwa anak kepada pengasas Bangladesh itu terpaksa melarikan diri dan lebih rela mati serta dikebumikan di kediamannya sendiri.

Parti Awami League yang kini diharamkan menegaskan Hasina menafikan sepenuhnya semua tuduhan, menyifatkan perbicaraan itu sebagai sekadar sandiwara politik namun, Asaduzzaman menegaskan perbicaraan tersebut dijalankan dengan adil bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak.

“Kami mahu keadilan ditegakkan untuk kedua-dua belah pihak dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan yang telah meragut 1,400 nyawa ini,” katanya sambil menyebut beberapa mangsa termasuk kanak-kanak.

Keputusan mahkamah itu dijangka diumumkan tiga bulan sebelum pilihan raya umum Bangladesh, yang dijadual berlangsung pada Februari 2026, iaitu pilihan raya pertama sejak penggulingan Hasina. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN