KAHERAH: Mesir menuduh Ethiopia bertindak “secara cuai dan tidak bertanggungjawab” dalam pengurusan empangan Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD) sehingga memburukkan banjir besar di Sudan dan kini mengancam secara langsung keselamatan tanah dan rakyat Mesir.
Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan Kementerian Sumber Air dan Pengairan Mesir pada Jumaat, negara itu mengaitkan peningkatan mendadak air Sungai Nil dengan pembukaan pintu empangan GERD oleh Ethiopia tanpa sebarang koordinasi atau notifikasi awal kepada negara-negara hiliran, iaitu Sudan dan Mesir.
“Tindakan Ethiopia ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan membuktikan bahawa dakwaan mereka tidak akan menyebabkan sebarang mudarat hanyalah eksploitasi politik terhadap air atas kepentingan nyawa dan keselamatan serantau,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa Mesir menyatakan banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Sudan, termasuk penenggelaman kampung dan ladang, berpunca daripada pelepasan air secara tiba-tiba dari empangan GERD. Ditambah dengan hujan tidak menentu dan paras Sungai Nil Putih yang lebih tinggi dari biasa, situasi ini mengakibatkan kemusnahan besar.
Setakat ini, Ethiopia masih belum mengeluarkan sebarang respons terhadap tuduhan tersebut.
Bagi menghadapi risiko banjir, Mesir mengumumkan langkah-langkah pencegahan segera termasuk pemantauan intensif paras air Sungai Nil, terutamanya di kawasan utara seperti wilayah Monufia dan Beheira. Penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai telah diarahkan untuk berpindah serta-merta.
“Penduduk, petani, dan mereka yang tinggal berhampiran tebing sungai diminta kosongkan kawasan dengan segera,” menurut arahan dari Pejabat Gabenor Monufia dan Beheira.
Beberapa rumah dan ladang dilaporkan telah ditenggelami air di daerah Ashmoun pada pagi Jumaat.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty turut memberi amaran tindakan unilateral Ethiopia melanggar hak Mesir yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa.
“Jika kepentingan eksistensial Mesir berkaitan sumber air terancam, Mesir berhak menggunakan semua kaedah yang ada untuk mempertahankannya,” katanya dalam satu pertemuan diplomatik di Port Sudan.










