LOS ANGELES: Satu laluan lebuh raya sepanjang 27.3 kilometer di California, Interstate 5 (I-5), ditutup sepenuhnya pada Sabtu bagi memberi laluan kepada latihan tembakan peluru hidup oleh Kor Marin Amerika Syarikat (AS) sempena ulang tahun ke-250 penubuhannya
Latihan ketenteraan ini berlangsung dalam suasana tunjuk perasaan besar-besaran gerakan “No Kings” yang melanda seluruh negara, menentang kepimpinan Presiden Donald Trump.
Kritikan tajam dilemparkan terhadap Rumah Putih, yang dituduh memperalatkan kuasa tentera untuk menakut-nakutkan rakyat.
Gabenor California, Gavin Newsom, mengecam keras pameran kuasa tentera itu yang disifatkannya sebagai berisiko tinggi dan tidak bertanggungjawab.
“Menembak peluru hidup di atas lebuh raya sibuk bukan sahaja salah dari segi moral malah ia berbahaya. Menggunakan tentera untuk menakutkan rakyat bukan kekuatan. Ia tindakan sembrono,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Kor Marin mempertahankan tindakan mereka, menyatakan latihan tersebut mematuhi prosedur keselamatan yang ketat, dan dijalankan di kawasan sasaran yang ditetapkan.
Latihan tersebut turut dihadiri Naib Presiden JD Vance, dan digambarkan sebagai simbol “kekuatan dan kesepaduan pasukan Navy-Marine Corps”.
Insiden ini menjadi episod terbaharu dalam ketegangan berterusan antara pimpinan Demokrat California dan Pentadbiran Trump berhubung penggunaan kuasa tentera secara domestik.
Dalam beberapa bulan terakhir, Los Angeles menjadi antara bandar utama di mana tentera kebangsaan dan marin dikerahkan untuk menangani protes berkaitan serbuan imigresen.
Penganalisis politik melihat pameran kekuatan tentera ini sebagai mesej tersirat terhadap para penunjuk perasaan dan satu langkah politik menjelang pemilihan semula Trump.
Aktivis dan warga sivil turut menyuarakan kebimbangan mereka, mempersoalkan keperluan menutup laluan utama dan menembak peluru hidup berhampiran kawasan awam.