WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap sebuah bot di Lautan Pasifik timur semalam yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah, mengakibatkan empat maut, kata Menteri Pertahanan Pete Hegseth.
Serangan terbaharu itu menjadikan jumlah korban daripada kempen antinarkotik kontroversi Washington sekurang-kurangnya 62 orang.
Serangan berlaku di perairan antarabangsa, menurut Hegseth di X, dengan video yang disertakan menunjukkan sebuah bot terapung sebelum berlaku letupan besar dan kebakaran.
Seperti video terdahulu, bahagian tertentu di atas bot disamarkan, menjadikannya mustahil untuk mengesahkan jumlah sebenar penumpang.
“Bot ini, seperti yang lain, diketahui melalui risikan terlibat dalam penyeludupan dadah, bergerak di laluan narco-trafik yang diketahui, dan membawa dadah,” kata Hegseth.
Serangan ini berlaku dua hari selepas beberapa serangan terhadap empat bot lain yang membunuh 14 orang dan meninggalkan seorang sahaja yang terselamat. AS meminta Mexico membantu menyelamatkan mangsa terselamat itu, tetapi Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, berkata usaha mencari gagal.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berkata negaranya menahan tiga kapal terbang yang didakwa digunakan untuk penyeludupan dadah, ketika ketegangan meningkat berikutan serangan bot AS dan penempatan ketenteraan Washington di rantau itu.
“Dua hari lalu… sebuah pesawat penyeludupan dadah memasuki Caribbean. Hari ini, dua pesawat lagi masuk dari utara. Mengikut undang-undang kami, kami memintas,” kata Maduro.
AS menempatkan tujuh kapal tentera laut, pesawat F-35, dan mengarahkan kumpulan serangan kapal induk USS Gerald R. Ford ke rantau itu, meningkatkan keupayaan ketenteraan secara besar-besaran. Washington menyifatkan penempatan ini sebagai operasi anti-dadah, tetapi Caracas bimbang ia bertujuan menggulingkan Maduro.
Pentadbiran Trump mendakwa Maduro terlibat dengan dadah, dakwaan yang dinafikan Presiden Venezuela itu, sementara AS menawarkan AS$50 juta ganjaran untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.










