TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan diplomatik bagi menubuhkan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza secepat mungkin bagi memastikan gencatan senjata yang dicapai dapat dikuatkuasakan dan kestabilan wilayah berkenaan terjamin.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington kini giat menggerakkan usaha bersama sekutu dan negara Arab bagi membentuk pasukan tersebut yang akan bertanggungjawab memantau keselamatan, penyampaian bantuan serta pemulihan semula Gaza selepas perang.
“Adalah amat penting untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan pasukan penstabilan ini memasuki Gaza secepat mungkin sebaik ia dapat dibentuk,” katanya semasa sidang media di Tel Aviv, semalam.
Lawatan Rubio ke Israel yang diadakan selepas kunjungan Naib Presiden J.D. Vance, menandakan usaha diplomatik habis-habisan oleh AS bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu Hamas dan Israel mematuhi gencatan senjata yang rapuh itu.
Mesyuarat antara kumpulan-kumpulan Palestin di Kaherah turut mencapai persetujuan penting apabila mereka sebulat suara menubuhkan sebuah jawatankuasa sementara yang terdiri daripada teknokrat bebas untuk mentadbir Gaza selepas perang.
Menurut kenyataan bersama yang disiarkan di laman web Hamas, jawatankuasa berkenaan akan mengurus hal ehwal kehidupan dan perkhidmatan asas rakyat Gaza dengan kerjasama negara Arab serta institusi antarabangsa.
Sementara itu, situasi di Gaza masih suram apabila ribuan keluarga terus berusaha pulang ke rumah masing-masing yang musnah, namun sebahagian besar kawasan masih dikuasai tentera Israel di luar sempadan Garis Kuning.
Washington turut menimbang semula mekanisme pengagihan bantuan kemanusiaan bagi memastikan prosesnya lebih telus dan berkesan. Cadangan baharu itu bakal menggantikan Gaza Humanitarian Foundation yang disokong AS sebelum ini tetapi dikritik kerana kelewatan dan salah urus.
Pegawai kanan pentadbiran AS berkata, pelbagai pendekatan dipertimbangkan bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kepada penduduk Gaza.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas dua tahun perang, Gaza kini menanggung lebih 61 juta tan runtuhan dengan hampir 78 peratus bangunan musnah.










