NEW YORK: Kasut mendaki dan pakaian luar buatan sintetik yang biasa digunakan oleh pendaki didapati menjadi punca utama pencemaran mikroplastik di kawasan hutan dan tasik semula jadi, menurut satu kajian di Pergunungan Adirondack, New York.
Penyelidik mengkaji dua tasik yang menjadi antara sumber utama Sungai Hudson yang sering dikunjungi pendaki manakala satu lagi terletak jauh dari laluan manusia.
Hasilnya mengejutkan apabila tasik yang menerima lebih banyak jejak kaki manusia menunjukkan tahap mikroplastik 23 kali lebih tinggi berbanding tasik terpencil.
“Tapak kasut lembut dan pakaian sintetik kelihatan menjadi penyumbang utama kepada kehadiran mikroplastik di kawasan air bersih ini,” kata saintis data dari Universiti Sacred Heart, Tim Keyes yang menjalankan projek tersebut bersama syarikatnya Evergreen Business Analytics dan organisasi Adirondack Hamlet to Huts.
Mikroplastik ialah cebisan halus plastik yang dihasilkan secara sengaja dalam barangan pengguna atau terhasil apabila plastik besar terurai.
Ia boleh mengandungi lebih 16,000 jenis bahan kimia, termasuk Bisfenol A (BPA), phthalates dan Bahan Perfluoroalkil dan Polifluoroalkil (PFAS) yang dikaitkan dengan risiko kesihatan serius seperti radang paru-paru kronik dan kanser paru-paru.
Kajian terdahulu mendapati sehingga 70 peratus mikroplastik di lautan berpunca daripada pakaian dan kini ia turut ditemui di awan serta air hujan.
Pada 2023, Keyes pernah menjalankan ujian di Lake Tear of the Clouds, kawasan popular pada ketinggian 1,300 meter. Sampel air menunjukkan kehadiran 9.45 zarah mikroplastik bagi setiap mililiter air. Ketika itu, para penyelidik menyangka mikroplastik tersebut dibawa oleh hujan atau udara.
Namun, selepas melakukan ujian semula dua tahun kemudian di tasik sama serta di Moss Pond iaitu kawasan terpencil tanpa laluan pendaki, mereka mendapati pencemaran sebenarnya berpunca daripada aktiviti manusia sendiri. -AGENSI