SHAH ALAM: Suspek lelaki yang dipercayai menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun hingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, semalam memendam perasaan cinta terhadap mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, namun suspek tidak pernah meluahkan perasaannya kepada mangsa.
Katanya, kedua-dua mereka tidak mengenali satu sama lain memandangkan umur dan kelas tidak sama.
Beliau berkata, suspek tidak mempunyai kes disiplin sebelum ini manakala saringan air kencing mendapati negatif daripada pengaruh dadah.
“Setakat siasatan sehingga kini, itu adalah kaedah. Suspek mempunyai perasaan ke atas si mati tetapi tidak dikongsikan kepada si mati. Si mati tidak mengetahui suspek mempunyai perasaan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, bedah siasat ke atas mangsa telah selesai dijalankan pukul 10.30 malam, semalam.
Mayat telah dituntut keluarga mangsa pada pukul 7.30 pagi tadi di Unit Patologi Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu pula ditahan reman tujuh hari.
Shazeli berkata, polis sedang menyiasat pelbagai aspek berhubung kes itu.
“Polis mengesahkan suspek dan mangsa tidak mempunyai hubungan atau interaksi sebelum kejadian,” katanya.
Shazeli berkata, selepas menikam mangsa, suspek ditahan oleh beberapa guru sekolah itu sebelum diserahkan kepada polis.
“Mangsa ditemui dalam tandas. Dipercayai suspek telah mengekori mangsa ke dalam tandas (dan melakukan pembunuhan),” katanya. – UTUSAN









