Kapal China tembak meriam air, langgar kapal Filipina di Laut China Selatan - Utusan Malaysia

Kapal China tembak meriam air, langgar kapal Filipina di Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Ketegangan di Laut China Selatan kembali memuncak apabila sebuah kapal Pengawal Pantai China bertindak agresif menembak meriam air bertekanan tinggi dan melanggar sebuah kapal kerajaan Filipina yang berlabuh berhampiran Pulau Thitu, wilayah yang dihuni rakyat Filipina.

Kejadian itu berlaku pada Ahad lalu dan disahkan oleh pihak Pengawal Pantai Filipina.

Insiden membabitkan BRP Datu Pagbuaya, satu daripada tiga kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (BFAR) yang memberi sokongan kepada nelayan tempatan. Menurut pihak berkuasa, tiada kru kapal yang cedera, namun struktur kapal mengalami kerosakan kecil akibat perlanggaran dengan kapal China yang bernombor 21559.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Komodor Jay Tarriela, menjelaskan kapal mereka diserang dengan meriam air sebelum dilanggar dari belakang ketika berada dalam perairan berhampiran Sandy Cay, kawasan cetek antara Pulau Thitu (Pag-asa) dan Subi Reef, sebuah pulau buatan China.

Katanya, kapal China serta beberapa kapal militia melakukan manuver yang sangat berbahaya dan provokatif.

“Walau berdepan tindakan buli dan provokasi seperti ini, kami tidak akan berganjak. Kami tidak akan menyerahkan walau seinci pun wilayah kami kepada mana-mana kuasa asing,” tegas Tarriela.

Pihak China, dalam kenyataannya, menuduh kapal Filipina menceroboh kawasan yang didakwa sebagai “perairan China” tanpa kebenaran.

Jurucakap Pengawal Pantai China, Liu Dejun, mendakwa satu daripada kapal Filipina menghampiri secara berbahaya sehingga menyebabkan geseran, dan menyalahkan Manila atas ketegangan yang berlaku.

“Filipina perlu segera menghentikan pencerobohan dan gangguan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN