BERLIN: Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai serangan udara paling dahsyat di Gaza yang dilakukan sejak gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) dikuatkuasakan pada awal bulan ini.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza, lebih 100 orang terbunuh dalam serangan itu, termasuk sekurang-kurangnya 35 kanak-kanak, angka yang turut disahkan melalui semakan Agensi Berita Perancis (AFP) berdasarkan sumber perubatan di lima hospital di wilayah berkenaan.
“Kami merayu kepada Israel supaya menunjukkan tahap kawalan tentera yang tinggi bagi mengelakkan penderitaan lebih besar,” kata Wadephul dalam satu kenyataan kementerian sebelum beliau berlepas ke Asia Barat untuk lawatan rasmi.
Tentera Israel melancarkan serangan terhadap puluhan sasaran kumpulan Hamas sepanjang malam Rabu, sebagai tindak balas terhadap kematian seorang anggota tenteranya.
Tidak lama selepas serangan itu, pihak tentera Israel mengumumkan mereka memulakan semula penguatkuasaan gencatan senjata, namun rakaman langsung AFP dari langit Gaza masih menunjukkan letupan berlaku selepas kenyataan tersebut dikeluarkan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menjadi perantara utama perjanjian gencatan senjata hampir tiga minggu lalu, sebelum ini menegaskan tiada pihak boleh menggugat perjanjian tersebut, namun beliau turut menyokong hak Israel untuk membalas serangan jika diserang.
Dalam kenyataannya, Wadephul turut menggesa Hamas supaya menunaikan komitmen mereka dalam perjanjian itu.
“Hamas mesti meletakkan senjata dan menyerahkan semua mayat tebusan yang masih disimpan,” katanya disamping menambah persetujuan gencatan senjata antara Israel dan Hamas membuka ruang kepada harapan baharu untuk keamanan berkekalan di rantau tersebut.
“Sewaktu lawatan saya ke Timur Tengah, saya akan berbincang dengan rakan-rakan serantau mengenai cara dan bentuk bantuan khusus yang boleh diberikan oleh Jerman bagi menyokong langkah-langkah seterusnya ke arah keamanan,” katanya.
Wadephul dijadual memulakan lawatannya di Jordan, sebelum meneruskan perjalanan ke Lubnan dan Bahrain, menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar Jerman. -AGENSI










