BAITULMUQADDIS: Parlimen Israel meluluskan bacaan awal dua rang undang-undang (RUU) yang bertujuan merampas sebahagian wilayah Tebing Barat, dalam langkah yang digerakkan menteri berhaluan kanan, namun ditentang Amerika Syarikat (AS).
Pengundian itu berlangsung ketika Naib Presiden AS, JD Vance, melawat Israel bagi memperkukuh perjanjian gencatan senjata di Gaza yang ditaja oleh Presiden Donald Trump.
Trump sebelum ini menegaskan Washington tidak akan menyokong sebarang langkah pendudukan Israel.
“Saya tidak akan membenarkan Israel merampas Tebing Barat. Perkara itu tidak akan berlaku,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih pada September lalu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula menyatakan rancangan itu hanya akan menjejaskan pelan damai Gaza yang sudah dipersetujui sebelum ini, sekali gus meletakkan Asia Barat terus dalam situasi tidak stabil.
Media Israel melaporkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan ahli partinya, Likud, supaya tidak mengambil bahagian dalam undian tersebut.
Parti itu mendakwa, kedaulatan sebenar tidak akan dicapai melalui undang-undang yang hanya bersifat simbolik, tetapi menerusi tindakan yang betul di lapangan.
Semasa bacaan awal, ahli Parlimen mengundi untuk mengemukakan dua cadangan berasingan.
Cadangan pertama, yang diluluskan dengan 32 undi menyokong dan sembilan menentang, menyeru pengilhakan Maale Adumim di Timur Baitulmuqaddis yang menempatkan kira-kira 40,000 penduduk Israel.
RUU kedua, yang mencadangkan rampasan keseluruhan Tebing Barat, diluluskan dengan majoriti tipis, 25 undi menyokong berbanding 24 menentang.
Anggota Kabinet sayap kanan dalam pentadbiran Netanyahu secara terbuka menyokong pengilhakan wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.
“Kabinet sudah bersuara. Rakyat sudah bersuara. Sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan kedaulatan penuh ke atas seluruh wilayah Judea dan Samaria, warisan nenek moyang kita,” tulis Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, di platform X. – AFP









