RAMALLAH: Keluarga ratusan tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel di bawah perjanjian gencatan senjata kecewa selepas mengetahui orang tersayang mereka akan diusir ke negara ketiga.
Menurut Pejabat Media Tahanan Palestin, sekurang-kurangnya 154 tahanan yang dibebaskan pada Isnin sebagai sebahagian daripada pertukaran dengan tebusan Israel yang ditahan di Gaza akan dipaksa hidup dalam buangan oleh Israel.
Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 250 tahanan Palestin di penjara Israel serta sekitar 1,700 orang dari Semenanjung Gaza yang ditahan sejak dua tahun perang bermula, ramai antaranya dilaporkan ‘hilang secara paksa’ oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Belum ada maklumat rasmi mengenai negara yang akan menerima tahanan yang diusir itu, namun dalam pembebasan tahanan terdahulu pada Januari, puluhan dihantar ke Tunisia, Algeria dan Turkiye.
Wartawan Al Jazeera, Nida Ibrahim berkata, pengusiran itu juga bermakna keluarga berkemungkinan tidak dapat bertemu semula kerana Israel mengawal semua sempadan keluar masuk Palestin.
“Kita mungkin melihat ramai keluarga yang menyaksikan orang tersayang mereka diusir keluar dari Palestin dan mungkin tidak lagi berpeluang untuk menziarahi mereka,” kata Nida yang membuat liputan di Tebing Barat.
Pakar Dasar Awam di Doha Institute for Graduate Studies, Profesor Madya Tamer Qarmout berkata, tindakan mengusir tahanan yang dibebaskan itu melanggar hak kewarganegaraan mereka dan mencerminkan sikap berat sebelah dalam pelaksanaan perjanjian pertukaran tahanan.
“Mereka keluar dari penjara kecil, tetapi kini dihantar ke penjara yang lebih besar, jauh daripada masyarakat mereka sendiri ke negara baharu di mana mereka bakal menghadapi pelbagai sekatan.
Ia jelas tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Menurut Qarmout, tindakan itu bertujuan menghalang Hamas daripada memperoleh sebarang kemenangan simbolik daripada pertukaran tahanan, selain menyingkirkan bekas tahanan daripada sebarang penglibatan politik atau aktivisme masa depan.