Kes tikam: Hanya segelintir pelajar hadir ke sekolah hari ini 

Kes tikam: Hanya segelintir pelajar hadir ke sekolah hari ini 

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya segelintir pelajar hadir pada sesi persekolahan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini hari ini susulan kejadian seorang pelajar perempuan maut ditikam semalam.

Seorang pelajar ketika ditemui  selepas sesi persekolahan tamat kira-kira pukul 1 tengah hari berkata, ramai rakan sekelasnya tidak hadir ke sekolah kerana masih trauma dengan kejadian semalam.

“Dalam kelas saya hari ini cuma empat orang yang hadir. Semua pelajar yang datang diberi sesi kaunseling dan ditempatkan dalam dewan khas,” katanya.

Bekas pelajar sekolah berkenaan, Aravinthan Arulalan, 18, turut hadir meninjau kawasan sekolah hari ini bersama seorang rakannya selepas mengetahui insiden berkenaan.

“Mungkin pihak sekolah perlu mengetatkan peraturan dan memperkukuh tindakan disiplin termasuk melakukan pemeriksaan mengejut terhadap beg pelajar bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi semalam, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan di kawasan sekolah berkenaan.

Susulan kejadian, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang juga rakan sekolah mangsa ditahan bagi membantu siasatan, selain dua senjata tajam turut dirampas di lokasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN