Israel kerah 600 pegawai polis, siap siaga pintas misi GSF

Israel kerah 600 polis, siap sedia pintas misi Sumud Flotilla

flotilla
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Pihak berkuasa Israel mendakwa mengerahkan lebih 600 pegawai polis untuk bersiap siaga memintas kapal-kapal yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan membawa ratusan aktivis ke darat untuk diusir atau ditahan dalam satu operasi kompleks.

Misi GSF yang terdiri daripada 47 buah kapal dijangka sampai ke Semenanjung Gaza membawa lebih 500 aktivis, termasuk aktivis Sweden Greta Thunberg, serta ahli Parlimen dan peguam.

Flotila besar yang cuba memecahkan sekatan maritim ke atas Semenanjung Gaza itu menolak gesaan Itali untuk berhenti pada lewat Selasa, menegaskan ia semakin menghampiri zon kritikal dan menjangkakan Israel akan mengambil tindakan tidak lama lagi untuk menghentikan kemaraannya.

Tentera Laut Israel dijangka memintas kapal-kapal itu dan sebelum ini melakukannya jauh sebelum para aktivis sempat menghampiri pantai Gaza.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Brigadier Jeneral Effie Defrin berkata, paukan tentera laut sudah bersedia memintas kapal-kapal itu, walaupun mengakui ia akan menjadi cabaran lebih besar berbanding percubaan flotila sebelum ini kerana jumlah kapal yang banyak.

Disebabkan bilangan kapal yang besar, tentera laut Israel dijangka akan menaiki kapal-kapal itu, menahan aktivis, dan membawa mereka ke sebuah kapal yang lebih besar dan dari situ, dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk diusir.

Beberapa kapal aktivis juga mungkin ditunda ke Pelabuhan Ashdod, walaupun sumber tentera berkata, mereka menjangkakan ada kapal yang mungkin ditenggelamkan di laut.

Media berbahasa Ibrani melaporkan kira-kira 600 pegawai polis terlibat dalam usaha membawa para peserta, sebaik mereka tiba di Pelabuhan Ashdod ke sebuah kemudahan di selatan Israel dan kemudian mengusir mereka yang bersetuju pada malam Khamis.

Mereka yang enggan akan diuruskan oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri menggunakan tribunal khas yang akan dibentuk di dalam penjara Ketziot, menurut Channel 12.

Laporan itu turut menyebut sekitar lapan buah ambulans disediakan berhampiran pantai sekiranya peserta flotila memerlukan rawatan perubatan dan beberapa hospital turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Israel sebelum ini menolak flotila-flotila itu sebagai gimik publisiti dan pada Selasa menuduh beberapa peserta utama mempunyai kaitan dengan Hamas.

Flotila itu kini menghampiri jarak 150 batu nautika atau 278 kilometer dari pantai Mediterranean Gaza.

Peserta flotila memberitahu Associated Press, mereka menjangkakan pihak berkuasa Israel akan bertindak ketika mereka menghampiri zon kritikal lewat petang ini.

Seorang jurucakap wanita Itali bagi flotila itu, Maria Elena Delia dalam satu video di Instagram berkata, Israel mungkin akan menyerang malam ini kerana semua petanda menunjukkan hal itu akan berlaku.

GSF dikawal oleh satu kapal tentera laut Sepanyol dan dua kapal tentera laut Itali, yang menurut kerajaan masing-masing tidak dijangka menggunakan kekuatan ketenteraan.

Kementerian Pertahanan Itali pada Selasa berkata, kapal-kapal negaranya akan berhenti mengikuti flotila sebaik ia memasuki jarak 150 batu nautika dari pantai.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa flotila itu dihentikan segera, dengan mengatakan misi bantuan itu boleh melemahkan harapan perdamaian berdasarkan cadangan 20 perkara Presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan perang, membina semula Gaza dan bergerak ke arah penubuhan negara Palestin.

Penganjur flotila mendakwa kenyataan Itali itu sebagai tindakan sabotaj.

“Kerajaan Itali memilih untuk mengiringi kami hanya sehingga titik bahaya dan kemudian cuba menarik diri, membawa kami kembali ke pantai dengan tangan kosong, sementara Israel terus menyembelih dan membiarkan rakyat Palestin kebuluran tanpa sebarang halangan,” kata kenyataan flotila itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN