Israel cabuli gencatan senjata Gaza 47 kali, tapi AS cuba alihkan kepada Hamas

Israel cabuli gencatan senjata Gaza 80 kali, tapi AS cuba alihkan kepada Hamas

ANGKARA kekejaman Israel. Jenazah kanak-kanak yang maut dalam serangan ganas rejim Zionis di Palestin, diletakkan di Hospital Al-Aqsa, wilayah Deir Balah, tengah Semenanjung Gaza. Kanak-kanak sering menjadi mangsa serangan berterusan Israel yang kononnya menyasarkan kumpulan Hamas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pejabat Media Kerajaan Gaza menuduh Israel melanggar gencatan senjata sebanyak 80 kali sejak ia berkuat kuasa awal Oktober, dengan tindakan itu menyebabkan 38 rakyat Palestin terbunuh dan 143 lagi cedera.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak berkuasa Gaza menyebut pelanggaran termasuk tembakan langsung terhadap orang awam, pengeboman disengajakan terhadap kawasan penduduk, dan penahanan rakyat awam, yang menurut mereka menunjukkan dasar agresif Israel yang berterusan, walaupun perang telah diumumkan berakhir.

“Kami menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara penjamin perjanjian ini untuk campur tangan segera bagi menghentikan serangan Israel dan melindungi penduduk awam yang tidak bersenjata,” kata kenyataan itu.

Namun dalam perkembangan yang kontras, Amerika Syarikat (AS) tampil menuduh Hamas pula cuba melanggar gencatan senjata, dengan mendakwa kumpulan itu merancang serangan terhadap orang awam Palestin di Gaza.

Dakwaan itu disifatkan oleh banyak pihak sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada pelanggaran Israel.

Jurucakap Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan yang dipercayai Hamas merancang serangan ke atas orang awam Palestin. Jika ini berlaku, ia akan menjadi satu pelanggaran serius terhadap gencatan senjata.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak disertakan sebarang bukti konkrit, dan tidak menjelaskan bagaimana atau bila serangan itu dirancang.

Sebaliknya, ia menyebut langkah-langkah akan diambil untuk melindungi rakyat Gaza tanpa menghuraikan maksudnya.

Presiden AS Donald Trump baru-baru ini juga mengeluarkan ancaman terhadap Hamas, menyatakan jika Hamas terus membunuh orang di Gaza yang bukan sebahagian daripada perjanjian, ita tidak punya pilihan selain membunuh mereka.

Dalam insiden paling tragis sejak gencatan senjata dimeterai, 11 ahli keluarga Palestin termasuk tujuh kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh selepas bas yang mereka naiki diserang tentera Israel di kawasan Zeitoun, Gaza City pada Jumaat.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, menjelaskan keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah apabila mereka didakwa melintasi ‘garis kuning’, sempadan yang ditetapkan secara unilateral oleh tentera Israel.

“Tiada penanda fizikal di atas tanah. Bagaimana mereka boleh tahu sempadan itu wujud?” kata Basal.

Rakaman misi menyelamat oleh agensi tempatan dan PBB menunjukkan keadaan mayat-mayat yang bergelimpangan, termasuk kanak-kanak kecil.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan lintasan Rafah kekal ditutup sehingga semua mayat tebusan Israel diserahkan Hamas, meskipun ia merupakan satu-satunya jalan keluar masuk utama ke Gaza.

Sehingga kini, Hamas sudah menyerahkan 12 daripada 28 mayat tebusan, dengan menyatakan kerosakan infrastruktur dan kekurangan peralatan menjadikan pencarian mayat yang lain amat sukar.

Walaupun gencatan senjata sepatutnya membuka ruang bantuan kemanusiaan, agensi antarabangsa melaporkan bahawa Israel terus melambatkan penghantaran makanan dan bekalan. Tabung Makanan Dunia (WFP) menyebut hanya 560 tan makanan sehari masuk ke Gaza, jauh lebih rendah dari keperluan sebenar.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan jumlah korban kini melebihi 68,000 orang, dan kira-kira 10,000 mayat dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Sementara itu, Israel tetap menafikan sebarang pelanggaran dan sebaliknya menuduh Hamas sebagai punca ketegangan berterusan walaupun angka korban dan bukti di lapangan menunjukkan sebaliknya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN